Untung bersih SDP melonjak lebih 214 peratus

Untung bersih SDP RM468 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Untung bersih Sime Darby Plantation Berhad (SDP) bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 melonjak lebih 214 peratus kepada RM468 juta berbanding RM149 juta tempoh sama 2020.

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat kepada RM5.55 bilion berbanding RM3.64 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Menurut SDP, walaupun pengeluaran buah tandan segar lebih rendah pada suku semasa, tetapi harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi membantu meningkatkan prestasi kewangan syarikat, yang menyaksikan semua segmen merekodkan keuntungan tahun ke tahun yang lebih tinggi.

Katanya, segmen hu luan pada suku berkenaan merekodkan keuntungan sebelum cukai dan faedah (PBIT) sebanyak RM958 juta, 173 peratus lebih tinggi daripada RM351 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

“Ia disokong harga MSM direalisasikan dan isirung sawit yang lebih tinggi, masing-masing meningkat daripada purata RM2,664 kepada RM4,179 satu tan metrik dan RM1,673 kepada RM3,363 tan metrik.

“Kadar perahan minyak (OER) juga meningkat 21.79 peratus daripada 21.35 peratus pada suku keempat tahun kewangan 2020,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, segmen hiliran pula menyaksikan peningkatan PBIT yang ketara daripada RM7 juta pada suku ketiga kepada RM287 juta pada suku keempat 2021 disumbangkan menerusi peningkatan jualan daripada operasi di Eropah dan margin lebih tinggi operasi di Asia Pasifik.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK21), SDP merekodkan PBIT berjumlah RM3.68 bilion, hampir 2 kali ganda lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun kewangan 2020 sebanyak RM1.85 bilion.

Untung bersih bagi tempoh itu meningkat kepada RM2.26 bilion berbanding RM1.19 bilion manakala pendapatan melonjak kepada RM18.7 bilion berbanding RM13.08 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Kumpulan mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 12.38 sen sesaham dengan dividen interim sebanyak 7.90 sen, menjadikan jumlah dividen peringkat tunggal sebanyak 20.28 sen sesaham bagi TK21, lebih tinggi berbanding TK20 sebanyak 11.57 sen.

Pengarah Urusan SDP, Mohamed Helmy Othman Basha berkata, meskipun Kumpulan mengakhiri TK21 dengan cemerlang tetapi perjalanan masih kekal mencabar.

Ia berikutan pada 28 Januari lalu, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) mengeluarkan kenyataan bahawa produk minyak sawit tertentu syarikat tersebut dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Walaupun penemuan itu mengecewakan, tetapi kami terus berusaha untuk menangani semua cabaran, mengekalkan kebajikan dan kesejahteraan tenaga kerja sebagai keutamaan kami.

“Sementara Kumpulan memulakan pembayaran balik yuran pengambilan dan kos berkaitan kepada pekerja asing semasa dan terdahulu yang mungkin telah dicaj oleh ejen pihak ketiga di negara sumber, kami juga menantikan penyempurnaan penilaian bebas bagi operasi di Malaysia,” katanya.

Disebalik cabaran itu, Kumpulan percaya 2022 akan menjadi tahun perubahan. Kumpulan menjangkakan harga minyak sawit kekal tinggi, sekurang-kurangnya sepanjang separuh pertama 2022 memandangkan bekalan hanya akan meningkat pada separuh kedua, selaras dengan musim tanaman yang tinggi.

“Kami juga kekal optimis dan berhati-hati terhadap pengeluaran buah tandan segar terutama menerusi operasi di Malaysia, meningkat pada separuh kedua apabila kerajaan menarik balik pembekuan pengambilan pekerja asing yang telah dilaksanakan sejak Jun 2020,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN