PETALING JAYA: Kenanga Investment Bank Berhad (Kenanga) mencatatkan prestasi terbaik untuk tahun kedua berturu-turut dengan merekodkan keuntungan bersih (PAT) sebanyak RM118.8 juta, meningkat 16.2 peratus bagi Tahun Kewangan 2021 (TK 2021).
Bagi tempoh tersebut, Kumpulan merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM148.2 juta berbanding RM134.7 juta tahun sebelumnya.
Menurut Kenanga, Kumpulan mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM784.5 juta daripada perolehan berjumlah RM891.5 juta.
“Pulangan Tahunan atas Ekuiti (ROE) mencatatkan kenaikan 11.5 peratus, naik daripada 10.7 peratus, manakala Perolehan Per Saham naik sebanyak 11.9 peratus kepada 16.3 sen berbanding 14.6 sen pada tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.
Lembaga Pengarah syarikat berkenaan mengisytiharkan dividen sebanyak 10.5 sen per saham, tertinggi sejak syarikat mencapai status bank pelaburan.
Kenanga berkata, Bahagian Pembrokeran Saham mengekalkan PBT sebanyak RM86.4 juta sama seperti tahun sebelumnya, manakala bahagian pasaran runcit meningkat daripada 22.2 peratus kepada 24.2 peratus, didorong oleh perluasan kerjasama berterusan dengan Rakuten Trade, platform dagangan saham digital sepenuhnya yang pertama di Malaysia.
Tambahnya, sumbangan PBT daripada Bahagian Pengurusan Pelaburan Kenanga melonjak hampir tiga kali ganda kepada rekod tertinggi sebanyak RM34.9 juta, didorong oleh penjanaan pendapatan daripada yuran prestasi dan yuran pengurusan yang lebih tinggi, susulan kenaikan aset di bawah pentadbiran (AUA) kepada RM18.8 bilion dan pertumbuhan 60 peratus dalam pasukan agensi jualan.
“Sementara cabang ekuiti persendirian Kenanga menikmati tahun gemilang pada 2021, dengan Dana Vintaj I matang dan berada dalam tempoh jualan. Keuntungan sebanyak RM24.6 juta telah dikenalikan pada tahun tersebut,” katanya.
Mengulas prestasi tersebut, Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga, Datuk Chay Wai Leong berkata, 2021 merupakan tahun yang penuh pancaroba bagi pasaran modal Malaysia.
Kata beliau, jumlah dagangan yang kukuh di Bursa Malaysia dipacu aktiviti peruncitan telah mendorong prestasi cemerlang dalam perniagaan pembrokeran saham Kumpulan.
“Bagaimanapun, momentum ini menjunam pada separuh kedua tahun tersebut apabila negara kita dilanda pelbagai cabaran, termasuk pelaksanaan semula langkah sekatan pada pertengahan tahun susulan peningkatan kes Covid-19.
“Penanda aras Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang kekal di atas 1,600 mata pada awal tahun 2021, menurun bawah 1,500 mata pada separuh kedua tahun itu. Malah, nilai dagangan purata harian turut merosot kepada RM4.1 bilion pada Disember daripada paras tertinggi RM10.6 bilion pada Februari,” katanya.
Tambah Wai Leong, meskipun berdepan tahun mencabar, perniagaan pembrokeran saham Kumpulan terus menjadi penyumbang utama kepada untung bersih 2021, yang diperkukuh oleh kemajuan tinggi dalam unit pengurusan aset dan ekuiti persendirian.
“Ia membolehkan kami berkembang maju dalam keadaan tidak menentu ini dan mengatasi segala kemungkinan untuk meraih prestasi cemerlang, sekali gus membuktikan kekuatan strategi kepelbagaian kami,” katanya. – UTUSAN









