PETALING JAYA: Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) mencatatkan prestasi kukuh untuk tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2021, dengan untung selepas cukai (PAT) mencecah RM3.4 bilion, iaitu peningkatan 93 peratus berbanding RM1.8 bilion yang dilaporkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Untung sebelum cukai (PBT) meningkat kepada RM4.4 bilion manakala hasil naik kepada RM6.9 bilion. Prestasi lebih baik ini disokong oleh harga jualan purata (ASP) lebih tinggi pada separuh pertama tahun kewangan yang mengimbangi kenaikan kos bahan mentah.
Bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2021, kumpulan mencatatkan untung selepas cukai berjumlah RM256.1 juta, lebih rendah daripada RM1.01 bilion yang dicatatkan pada suku tahun sama tahun lepas, disebabkan ASP dan jumlah jualan lebih rendah pada suku ketiga.
Pendapatan sesaham (EPS) bagi suku tahun yang dilaporkan ialah 7.58 sen manakala untuk tempoh sembilan bulan, EPS berjumlah 100.43 sen manakala nilai aset bersih sesaham berada pada paras RM1.70 setakat 31 Disember 2021.
Sejajar dengan komitmen Kumpulan untuk menjana nilai bagi pemegang saham, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim kedua satu peringkat sebanyak 14.80 sen sesaham bagi tahun kewangannya yang berakhir 31 Mac 2022, dengan tarikh kelayakan pada 23 Februari 2022 dan perlu dibayar pada 9 Mac 2022.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kuan Mun Leong berkata, harga jualan purata terus turun dari paras puncak pada separuh pertama tahun kewangan, berikutan permintaan jualan lebih rendah dan bekalan lebih tinggi daripada pengilang sarung tangan utama dan juga yang baharu.
Di samping itu, menurut beliau, para pembeli juga terus melaraskan inventori disebabkan oleh harga jualan lebih rendah tambahan pula dengan pewartaan Cukai Makmur yang dikenakan bakal memberikan kesan nyata ke atas pendapatan suku terakhir tahun kewangan semasa kumpulan.
“Walaupun menghadapi persekitaran semasa, kami akan terus memberi tumpuan kepada rancangan perkembangan jangka panjang strategik kami untuk memenuhi peningkatan permintaan sarung tangan global secara organik, kerana penggunaan sarung tangan dijangka meningkat di pasaran-pasaran sedang membangun seiring tahap kesedaran lebih tinggi terhadap penjagaan kebersihan.
“Menyedari hakikat ini dan berasaskan dinamik bekalan dan permintaan pasaran, kami akan terus mengembangkan kapasiti kami melalui Kompleks Pengilangan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) kami,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, di samping enam kilang yang sudah siap sepenuhnya di NGC, lapan daripada sembilan barisan pengeluaran Kilang 7 telah ditauliahkan dan akan mempunyai kapasiti pengeluaran terpasang sebanyak 2.6 bilion keping.
“Pembinaan NGC 1.5 kami juga kini sedang dilaksanakan, dengan barisan pengeluaran pertama bakal disempurnakan pada Oktober 2022. Kemudahan NGC 1.5 kami akan menempatkan empat kilang pengeluaran yang menyumbang 19 bilion keping kepada kapasiti terpasang tahunan kami.
“Apabila siap pembinaan NGC 1.5 dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang, kapasiti terpasang tahunan Kumpulan akan bertambah kepada 63 bilion keping setahun. Sambil kami meneruskan rancangan perkembangan strategik, kami yakin bahawa prospek jangka panjang tetap cerah bagi kumpulan,” ujarnya. – UTUSAN










