UMT meneruskan agenda membantu naik taraf ekonomi rakyat, graduan

UMT lahir usahawan agro

NORAINI Ahmad menyempurnakan gimik pelancaran projek usahawan kelulut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meneruskan agenda membantu naik taraf ekonomi golongan berpendapatan rendah dan graduan yang berminat menceburi bidang pertanian.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, beberapa projek telah dirangka oleh kumpulan penyelidik UMT untuk komuniti Parit Sulong, Johor sebagai inisiatif membantu golongan sasar menambah pendapatan.

Beliau berkata, antara inisiatif UMT untuk membantu pembangunan kapasiti komuniti adalah melalui pemindahan dan asimilasi ilmu serta teknologi yang dihasilkan oleh ahli akademik UMT melalui dana dalaman, Skim Geran Penyelidikan Translasional UMT.

“Geran ini adalah menghakupayakan komuniti melalui konsep inovasi sosial dalam membantu peningkatan sosio-ekonomi komuniti di samping membina jalinan kerjasama berterusan di antara universiti dan komuniti.

“Kali ini pihak UMT melebarkan jaringan kerjasama dengan komuniti di Parit Sulong melalui Projek Translasional Ternakan Kelulut serta Ternakan Udang Galah dan Tanaman Sayuran,” katanya dalam kenyataan.

Projek pemindahan ilmu itu turut mendapat sokongan daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang merasmikan majlis pelancaran projek-projek tersebut sempena Program Tautan Mesra Komuniti Parit Sulong dan Karnival Kementerian Tinggi #KeluargaMalaysia baru-baru ini.

Selain itu, tambah beliau lagi beberapa program lain juga akan dilaksanakan seperti Projek Ternakan Udang Galah dan Tanaman Sayuran yang mengintegrasikan penternakan antara udang galah atau ikan dan sayur-sayuran.

Jelasnya, projek ternakan udang galah dan tanaman sayuran ini bagi membantu komuniti meningkatkan taraf hidup berkaitan penghasilan sistem ternakan lebih mampan, mesra pengguna dan mampu beroperasi sehingga tempoh lebih 5 tahun.

“Projek ini cukup menarik iaitu berkonsepkan pengeluaran hasil ikan atau udang dan sayur-sayuran menggunakan modal permulaan yang rendah dan boleh ditempatkan di sudut terbuka.

“Saya percaya projek seperti ini akan membawa pulangan yang baik dari segi peningkatan taraf ekonomi komuniti Parit Sulong,” jelasnya.

Beliau berharap agar projek-projek yang dilaksanakan dapat melahirkan usahawan berkemahiran tinggi yang berdaya saing dan lestari dalam sektor agro-pelancongan setempat.

Sementara itu, UMT berjaya melahirkan usahawan melalui projek Kelulutpreneur melibatkan graduan universiti.

“UMT berjaya melahirkan sejumlah 30 graduan usahawan daripada pelbagai latarbelakang pengajian sehingga membuka syarikat yang terlibat di dalam ternakan kelulut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN