PETALING JAYA: Pemaju hartanah, Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) menjalinkan perkongsian strategik dengan Powerchina International Group Limited (PowerChina).
Perkongsian itu untuk membangunkan projek Tropicana Paradise di Genting Highlands, Pahang.
Memorandum perjanjian itu ditandatangani antara Tropicana Inspirasi Indah Sdn. Bhd. dan Tropicana Inspirasi Impian Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Tropicana dengan Powerchina International Group Limited bersama Sinohydro Corporation (M) Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh PowerChina.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tropicana, Lee Han Ming berkata, kerjasama dengan PowerChina menunjukkan komitmen padu ke arah membina masa depan yang mampan serta pemilihan rakan strategik yang kukuh oleh Tropicana.
“PowerChina adalah syarikat tenaga global dan tersenarai di dalam Fortune 500 dengan latar belakang yang kukuh dalam industri pembinaan dan kejuruteraan.
“Dengan kepakaran dan pembiayaan pembinaan, kami yakin PowerChina mampu membawa Tropicana Paradise ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Tropicana WindCity adalah pembangunan perbandaran induk mega seluas 241.2 hektar, yang merangkumi Tropicana Paradise dengan keluasan 124.6 hektar sebagai pemangkin utama.
Kemuncak kepada Tropicana Paradise adalah hab hiburan bersepadunya yang menawarkan pelbagai pilihan hiburan dengan ruang bersaiz 1.5 juta kaki persegi di samping sejuta kaki persegi pilihan runcit di atas tapak seluas 15.4 hektar.
Bagi melengkapkan perbandaran ini dari aspek ruang kediaman dan pilihan penginapan, Tropicana Paradise didatangkan dengan konsep merangkumi apartmen servis moden dengan tumpuan lebih kepada unit satu bilik tidur serta dua bilik tidur, unit kediaman mewah serta hotel berjenama antarabangsa dengan penarafan empat dan lima bintang.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif PowerChina, Zhou Jiayi memaklumkan, pihaknya berbangga untuk bekerjasama dengan Tropicana dan percaya bahawa pembangunan induk Tropicana WindCity akan menarik minat pelabur tempatan dan asing.
“Kami teruja untuk menjadi sebahagian daripada pembangunan yang menarik di kawasan tanah tinggi dengan cuaca yang sejuk. Kami yakin kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan, digabungkan dengan pelan induk Tropicana, pastinya akan mewujudkan hab hiburan yang terkemuka di Tropicana Paradise,” ujarnya. – UTUSAN










