PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi berpendapat, trend jualan bangunan komersial yang melibatkan syarikat-syarikat besar kemungkinan berterusan dan bakal menjangkiti syarikat atau institusi lain.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, ini kerana, kebangkitan kembali ekonomi telah menyebabkan syarikat-syarikat dan institusi melakukan pelaburan baharu atau menyusun semula aliran tunai, penstrukturan hutang dan pembiayaan.
“Itu bakal melibatkan penjualan aset strategik yang mungkin boleh mendapatkan pulangan yang agak baik dan membenarkan penerusan pengoperasian mereka dengan lebih mampan.
“Selain itu, sekatan perjalanan juga telah mengubah cara perjalanan operasi kebanyakan syarikat dan institusi. Iaitu dengan model kerja hibrid, yang membolehkan pekerja bekerja dari rumah dan ruang pejabat yang lebih kecil kini merupakan satu pilihan yang bukan sahaja menarik malah kos efektif.
“Melihat kepada dinamisme cara pengoperasian dan keperluan mestruktur semula aliran kewangan, adalah amat munasabah untuk beberapa bangunan atau ruang pejabat yang ikonik bertukar tangan dalam masa terdekat ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau diminta mengulas laporan Menara ABS Berhad (MABS), entiti tujuan khas yang ditaja oleh Telekom Malaysia Berhad (TM), berhasrat untuk menjual tiga daripada empat bangunan pejabat miliknya.
Menurut ejen pemasaran eksklusif yang telah dilantik untuk menawarkan bangunan tersebut, Realtor WTW Real Estate Sdn. Bhd. (CBRE/WTW), tiga bangunan pejabat itu ialah Menara Telekom Malaysia (TM), Menara TM Semarak, dan Wisma TM Taman Desa.
Ujarnya, Menara TM dan menara korporatnya itu dijual melalui penyataan minat (EOI) dan pelaksanaan tender.
“Hartanah tersebut merupakan sebahagian daripada portfolio transaksi jualan dan pajakan balik Islam yang melibatkan penerbitan sukuk ijarah bersandarkan aset Islam (Dana ABS).
“Pemegang sukuk ABS menandatangani perjanjian ijarah induk dan melaburkannya ke dalam dana ABS yang tamat tempoh pada 15 Januari 2023,” katanya dalam kenyataan.
Pemilik asal hartanah itu ialah TM. MABS ditubuhkan untuk memudahkan pensekuritian empat hartanah iaitu Menara TM, Menara Celcom, TM Taman Desa dan TM Cyberjaya.
Pada 2008, TM memperoleh RM1 bilion daripada pensekuritian aset berasaskan kunci kira-kira yang melibatkan penjualan dan pajakan balik empat bangunannya kepada MABS.
Pemegang utama sukuk yang diterbitkan oleh MABS ialah Lembaga Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan).
Di bawah perjanjian jual beli yang ditandatangani pada Januari 2008, MABS telah membeli Menara TM, Wisma TM Taman Desa dan Kompleks Cyberjaya dengan jumlah RM850 juta.
Selain itu, di bawah perjanjian berasingan, MABS turut memperoleh Menara Celcom yang dikenali sebagai Menara TM Semarak, dengan harga RM150 juta.
Di bawah MABS, Sukuk RM1 bilion itu diperoleh melalui tiga tranche iaitu tranche A RM 345 juta, tranche B RM185 juta dan tranche C tidak ditaksir RM500 juta. Kedua-dua peringkat A dan C akan matang pada Januari 2023. – UTUSAN










