TNB Genco menandatangani MoU tiga pihak dengan IHI dan Petronas

TNB, IHI, Petronas jalin kerjasama

Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) di Manjung, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tiga pihak dengan IHI Corporation dan Petronas Gas & New Energy Sdn. Bhd. untuk mengkaji kebolehlaksanaan rendah karbon dalam rantaian bekalan hidrogen dan ammonia di Malaysia.

Menurut TNB, MoU itu termasuk kajian kebolehlaksanaan pembakaran arang batu bersama ammonia dalam sistem penjanaan sebagai sebahagian daripada inisiatif melenyapkan karbon dalam sektor tenaga negara.

Jelasnya, skop kajian merangkumi penilaian teknologi co-firing itu di stesen-stesen janakuasa arang batu di Malaysia dan kajian secara menyeluruh rantaian bekalan gas sebatian tersebut termasuk penghasilan ammonia hijau daripada sumber tenaga boleh baharu dan ammonia biru daripada gas asli.

“Kajian tersebut melibatkan penilaian teknologi pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CSS) dalam pembakaran bersama ammonia biru dan hijau di stesen janakuasa arang batu yang dijangka selesai bulan ini,” katanya dalam kenyataan.

TNB berkata, ammonia yang sering digunakan sebagai baja dan bahan mentah kimia didapati boleh digunakan sebagai bahan api bebas karbon.

Pembakaran bersama ammonia di stesen-stesen janakuasa arang batu boleh mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) dengan ketara dan menyekat pembebasan sebatian nitrogen oksida dalam proses pembakaran yang stabil, jelasnya.

Pengarah Urusan TNB Genco, Datuk Nor Azman Mufti berkata, bahan api rendah karbon seperti ammonia berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap arang batu.

“Dalam inisiatif kami menuju sumber tenaga lebih hijau melalui plan strategik Hala Tuju Kelestarian TNB, penggunaan ammonia boleh membantu usaha mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 35 peratus dan mengurangkan 50 peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035,” katanya.

Menurut Nor Azman, MoU itu menjadi batu loncatan kepada usaha agresif TNB Genco melaksanakan nyah karbon seiring Hala Tuju Kelestarian TNB, sekali gus menyokong inisiatif kerajaan untuk mencapai sasaran 45 peratus pengurangan intensiti Gas Rumah Kaca (GHG) pada 2030.

MoU tiga pihak ini disempurnakan ketika Persidangan Persatuan Ammonia Bahan Api Bersih pada 6 Oktober 2021.

Perjanjian tiga pihak ini akan membolehkan IHI menyediakan dandang-dandang pembakaran arang batu dan melaksanakan penilaian teknikal menyeluruh dalam pembangunan teknologi pembakaran ammonia di Malaysia.

Petronas pula akan memanfaatkan pengalamannya sebagai pengeluar tenaga antarabangsa bagi mendukung dasar penyelidikan tenaga boleh baharu (RE) dan hidrogen rendah karbon.

Sementara TNB Genco, dengan menyumbang 52.79 peratus kepada penjanaan tenaga Malaysia menyokong pelaksanaan teknologi co-firing ammonia di stesen-stesen janakuasa arang batunya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN