TNB menerusi Allo Technology meluaskan akses capaian internet

TNB bantu perluas capaian HSBB

SAARANI Mohamad melancarkan rangkaian infrastruktur gentian optik jalur lebar Allo Technology di Ipoh, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi syarikat subsidiari milik penuhnya, Allo Technology Sdn. Bhd. (Allo) meluaskan lagi akses rakyat kepada capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) dengan terkini menghubungkan 56,132 kediaman di enam kawasan di Perak.

Menurut TNB, pencapaian itu menjadikan lebih 180,000 premis meliputi Melaka, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor berada dalam rangkaian kemudahan tersebut.

Jelasnya, kemudahan itu menyokong Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.

“Bermula dengan projek menghubungkan 17,000 kediaman di Melaka, Allo kini giat melengkapkan rangkaian infrastruktur gentian optik di enam lagi negeri terlibat dengan sasaran menghubungkan 300,000 premis di Semenanjung Malaysia menjelang akhir tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Majlis perasmian Rangkaian Infrastruktur Gentian Optik Jalur Lebar Allo Technology peringkat negeri Perak  disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad di Ipoh, semalam.

Sementara itu, Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, keupayaan TNB menerusi Allo untuk memberi perkhidmatan berasaskan teknologi yang melangkaui perkhidmatan elektrik di Perak adalah manifestasi keupayaan syarikat untuk memastikan rakyat mendapat liputan jalur lebar yang meluas sejajar dengan hasrat kerajaan.

“Kemudahan ini membolehkan lebih ramai penduduk Perak mendapat akses kepada internet jalur lebar pada harga yang berpatutan, sekali gus memperkasakan rakyat menerusi aspek-aspek seperti pembangunan ekonomi digital, pendidikan dan pembangunan komuniti, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi mencabar akibat pandemik Covid-19,” katanya berucap di majlis tersebut.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Rangkaian Infrastruktur Gentian Optik Jalur Lebar Allo Technology peringkat negeri Perak yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad di Ipoh.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Khairul Shahril Mohamed; Ketua Pegawai Kawalselia & Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman; Ketua (Pengurusan Anak Syarikat), Bahagian Strategi dan Ventures TNB, Dr. Ahmad Jaafar Abd. Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Allo Technology, Rodzi Ahmad.

Hasan berkata, peranan TNB menerusi Allo dalam menjayakan JENDELA membuktikan komitmen berterusan TNB menjadikan kehidupan rakyat lebih sejahtera.

“Peranan menerangi kehidupan dengan membekalkan elektrik diperteguhkan lagi dengan mempersiapkan rakyat dan negara menghadapi Revolusi Industri 4.0 melalui capaian jalur lebar yang meluas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN