BANDAR BAHARU: Kompleks Islam Darul Faizin (KIDaF) di Kampung Bukit Aping, Serdang di sini menerusi anak syarikatnya Al-Faizin Marketing (Al-Faizin) melancarkan tiga lagi perisa produk susu kambing jenama Faa-iz bagi memenuhi permintaan pasaran.
Pengerusinya, Jafri Abu Bakar berkata, pengguna kini boleh menikmati susu kambing Faa-iz berperisa coklat, vanila dan strawberi selain rasa asli yang diperkenalkan sejak setahun lalu.
“Kami bermula dengan susu Faa-iz biasa tanpa perisa selama lebih setahun di pasaran sehingga pada suatu ketika kami merasakan ada keperluan untuk mengeluarkan susu berperisa.
“Tiga perisa ini terhasil daripada kajian secara rambang ke atas pengguna dan pengedar-pengedar susu kambing jenama Faa-iz,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Produk Susu Kambing Faa-iz Aneka Perisa dan Forum Perdana di KIDaf, Kampung Bukit Aping, Bandar Baharu di sini, semalam.
Produk susu kambing dengan tiga perisa baharu itu dilancarkan oleh penceramah bebas, Datuk Kazim Elias.
Beliau berkata, pihaknya menyasarkan jualan kira-kira 10,000 kotak produk susu kambing berkenaan sebulan pada tahun ini.
“Susu kambing Faa-iz ini dijual RM45 sekotak menerusi rangkaian stokis di seluruh negara dan ejen serta dropship yang mana promosi dilakukan menerusi media sosial termasuk Facebook,” ujarnya.
Katanya, semasa proses formulasi bermula, beliau menekankan agar susu yang dipilih daripada gred A kerana bukan sahaja ia lebih pekat, malah tidak berbau hamis.
“Ramai tahu tentang kelebihan susu kambing sebagai miracle food iaitu susu terbaik selepas susu ibu.
“Jadi kita masukkan beras perang yang jarang-jarang dibuat orang untuk menghilangkan bau hamis dan keduanya membantu kita untuk rasa kenyang,” jelasnya.
Beliau berkata, bahan lain yang dimasukkan ialah kurma bagi memberikan tenaga segera sekali gus menggantikan gula dan boleh diminum oleh penghidap kencing manis.
“Ginkgo Biloba turut dimasukkan untuk kecerdasan otak bagi manfaat pelajar yang menghafaz al-Quran selain warga emas, selain garam bukit yang banyak khasiatnya sebagai penambah perisa,” katanya.
Tambahnya, perniagaan dan hasil jualan produk susu itu adalah sebagai usaha untuk menjana pendapatan untuk madrasah agar tidak bergantung kepada sumbangan untuk kelangsungan operasi yang mencecah RM30,000 sebulan.
Jelasnya, sebanyak 100 peratus keuntungan jualan produk tersebut menjadi milik KIDaf.
“KIDaF tidak mengenakan yuran kepada pelajar tahfiz dan warga emas yang mengikuti pengajian di KIDaf,” tambahnya. – UTUSAN










