
SEJAK akhir-akhir ini, penggunaan motosikal dalam kalangan orang ramai sudah mula menjurus kepada satu hobi atau trend yang dalam jumlah agak besar. Kalau 15 tahun dahulu, motosikal kebanyakannya digunakan sebagai satu transportasi untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Kini, motosikal menjadi satu gaya hidup yang semakin mampu dilakukan oleh orang ramai.
Motosikal pelbagai model dan guna sudah menjadi kebiasaan pada rakyat Malaysia dan bukan lagi satu kekaguman. Pemilikan motosikal berkuasa tinggi juga kini menjadi satu perkara yang normal dan pembekal atau pengedar mula membanjiri pasaran tempatan dengan motosikal-motosikal bukan sahaja daripada negara matahari terbit Jepun, malah Jerman, Amerika Syarikat, Itali, Austria dan tidak ketinggalan, China.
Namun, jenama Suzuki, walau tidak pernah terpadam daripada ingatan pencinta motosikal tempatan, pengedar dari Malaysia seolah-olah ‘hidup segan, mati tak mahu’ apabila sangat kurang promosi, pengiklanan mahupun pendedahan diberikan. Nama Suzuki tetap gah apabila mengenang kembali zaman Malaysian Cub Prix tahun 90an apabila nama-nama pelumba yang masih diingati sehingga hari ini, menjuarai perlumbaan dengan motosikal jenama Suzuki.
Bermula 2021, Suzuki mula diedarkan dan dipasarkan oleh sebuah syarikat yang baharu, tetapi mempunyai pengalaman lebih daripada dua dekad sebagai pengedar, pemasang dan pengimport motosikal berjenama Kawasaki.
Membuka lembaran baru untuk 2021, selepas kelonggaran pergerakan awam dibenarkan oleh kerajaan, Suzuki Malaysia mula memperkenalkan enam model baharu untuk pasaran tempatan. Keenam-enam model itu adalah model yang diimpot sepenuhnya dari Jepun, tetapi dipasarkan pada harga pengenalan yang agak murah.
Begitu pun, di antara keenam-enam model ini, model V-Strom lebih banyak diminta oleh pasaran. Strom yang bermaksud “Aliran”, merujuk kepada aliran sungai dalam bahasa Sweden, sudah cukup membayangkan motosikal ini adalah untuk mereka yang ingin meneroka lapangan yang terbentang luas yang tidak upaya diterokai dengan motosikal biasa.

PENAMPILAN JENTERA
Antara model tersebut adalah Suzuki V-Strom 1050. Seperti ‘adik’nya V-Strom 650 (model Suzuki yang paling tinggi permintaannya di pasaran tempatan), ia adalah sebuah jentera “Dual Purpose” atau “Adventure”, yang mana versi model seumpama ini semakin digemari oleh pencinta dua roda tempatan.
Rupa bentuk fizikalnya saling tak tumpah dengan V-Strom 650. Cuma perbezaan ketara dapat dilihat daripada lampu hadapannya dan kotak atau “pannier box” yang didatangkan dengan model ini.
V-Strom 1050 ini juga menggunakan enjin versi “V berkembar” 90° , 1037cc, dan mempamerkan rupa bentuk ikonik jentera perlumbaan “Paris-Dakkar Rally”. Penggunaan pelindung lumpur (mud guard) hadapan yang seolah-olah seperti paruh burung, menjanjikan imej penunggangnya seorang yang suka mengembara dan mencuba laluan-laluan luar daripada jalan raya biasa. Pelindung angin yang boleh laras secara manual (sayangnya tiada sebarang tuas atau “lever” untuk meninggikan atau menurunkan pelindung angin ini), dan lampu LED yang di’pinjam’ daripada model Suzuki Katana melengkapkan penampilan sebuah motosikal yang lasak dan kekar.
Roda bersaiz 19 inci di hadapan membolehkan pengendalian jentera ini agak senang terutamanya ketika menggunakan laluan tidak bertar, serta roda berukuran 17 inci dengan tayar bersaiz 150/70 adalah cukup untuk memberi cengkaman dalam kebanyakan permukaan jalan.
Suspensi hadapan V-Strom ini didatangkan dengan jenis fork terbalik (inverted fork), walaupun agak lembut tetapi mempunyai kadar pantulan yang agak berpatutan bagi membolehkan ia dipergunakan pada pelbagai bentuk permukaan bumi.
Pannier atau kotak penyimpan barang yang dibekalkan bersama jentera ujian ini, sudah cukup membuktikan bahawa keperluan untuk keluar mengembara lebih daripada sehari. Kotak yang dipasangkan di kiri kanan motosikal ini bagaimana pun tampak agak sedikit terkehadapan dan seperti bakal mengganggu posisi kedudukan pembonceng belakang, serta geometrinya yang agak terkeluar daripada dan lebih lebar daripada handel.
Tayar-tayar yang dibekalkan oleh kilang pemasang V-Strom ini bagaimana pun bukan jenis “knobbies” atau bunga-bunga tayar yang tersembul keluar seperti motosikal “off road” atau “dirt track”. Ia dilihat sebagai lebih kepada corak bunga tayar biasa yang sesuai digunakan atas jalan tar, dan sekali sekala di permukaan ‘off-road’. Mungkin Suzuki menjangkakan penggunanya akan lebih menunggang di jalan raya bertar dan hanya sekali sekala ‘beralih angin’ ke laluan-laluan mencabar dan berpasir.
Secara keseluruhan, rupa bentuk V-Strom ini hampir serupa dengan mana-mana jentera ‘Adventure’ atau ‘Dual Purpose’ yang berada di pasaran. Begitupun, skim warna putih/jingga ini mampu menarik pandangan para penggemar motosikal versi ini.
PENUNGGANGAN
Daripada mata kasar, V-Strom ini kelihatan agak besar dan berat. Namun, sekiranya anda pernah menunggang ‘adik’nya (V-Strom 650), anda dapat merasakan ia seolah-oleh sama besar dan sama spesifikasinya. Hanya apabila anda mula memulas pendikit V-Strom ini, anda dapat merasakan penambahan kuasanya dan mula sedar ia adalah sebuah jentera 1,000cc.
V-Strom 1050 ini mempunyai sistem elektronik Suzuki Intelligent Ride Systems (SIRS) yang membolehkan si penunggangnya menggerakkan motornya daripada keadaan statik, dan mengurangkan kebarangkalian enjin termati akibat salah keimbangan antara klac dan pendikit.
Di samping itu, “Traction Control” atau kawalan cengkaman roda belakang juga boleh dilaras untuk penggunaan dalam keadaan jalan raya yang biasa, basah atau di kawasan-kawasan yang berpasir dan tiada cengkaman tar.
Ketika mengendali jentera ini atas jalan raya biasa, kestabilan motosikal ini menjadi tarikan dan apabila kita berubah permukaan laluan, roda berukuran 19 inci ini membolehkan saya mengemudi jentera dengan agak senang walau dilaluan berpasir di tepi pantai.
Untuk penunggangan sebuah motosikal “Adventure”, kesimbangan motosikal sememangnya menjadi topik utama. Walaupun tidak seperti motosikal BMW GS yang mempunyai pengimbang daripada sistem enjin Boxer mereka, Suzuki V-Strom menggunakan enjin berkembar V 90° ini menjanjikan penunggangnya dapat mengimbangi dan mengemudi jentera ini dengan memberi gambaran bahawa ia kurus, ringan di mana peha dan kaki anda mudah membantu menstabilkannya. Tujahan kuasa daripada kedudukan gear rendah agak cukup untuk melepasi dan melalui sebarang lecak atau pasir jerlus atau juga tanah lembut.
Penunggangan atas lebuh raya pula, seperti dijangkakan, ia begitu stabil dan langsung tidak memenatkan sekiranya anda menunggang pada jarak yang jauh atau masa yang lama. Punggung anda atau pembonceng anda tidak akan terasa sakit atau kebas, walaupun menunggang lebih daripada sejam atas jalan. Kedudukan penunggang yang agak tegak, membolehkan tubuh badan anda kurang merasai sebarang kepenatan.

KESIMPULAN
Suzuki V-Strom 1050, direka untuk kegunaan yang sememangnya diketahui ramai. Jika kita ingin membincangkan kelemahan motor ini, saya hanya mampu mengkritik tentang pemilihan lampu hadapannya. Lampu yang di’pinjam’ daripada Katana, suluhannya amat lemah, dan tidak memberi pancaran yang jauh dan luas. Sekiranya anda hanya menumpukan penunggangan dalam kawasan bandar sahaja, mungkin ini tidak menjadi masalah.
Namun, ini adalah motosikal ‘adventure’ untuk digunakan di kawasan-kawasan perkhemahan, peranginan dan pendalaman. Tetapi ianya dibekalkan pula dengan lampu LED yang agak suram. Mungkin persoalan ini mudah diatasi dengan penambahan lampu-lampu ‘sport lights’ namun saya agak kecewa dengan pemilihan lampu ini.
Satu lagi kelemahan yang dapat saya rasakan ialah pengendaliannya yang baik. Ya, kenyataan saya ini agak pelik, tetapi pengendalian baik model 1050 ini juga boleh diperolehi oleh ‘adik’nya V-Strom 650.
Pengendalian 650 dan 1050 seolah-olah tiada beza melainkan kuasa yang dibekalkan oleh 1050 sudah tentu lebih berkuasa, tetapi ini adalah motor ‘Dual Purpose’ atau ‘Adventure’ yang tidak memerlukan kebolehan untuk kelajuan tinggi. Kuasa tujahan pada 650 adalah cukup kuat untuk laluan atas permukaan muka bumi yang berbeza-beza. Maka, apakah keperluannya untuk ada lebihan kuasa ini?
Inilah faktor yang saya rasakan mampu ‘membunuh’ penjualan V-Strom 1050 ini. Melainkan V-Strom 1050 mempunyai beberapa faktor kelainan yang tidak dimiliki oleh V-Strom 650, seperti pelarasan pelindung angin elektronik, pelarasan ketinggian oleh suspensi secara elektronik atau sekurang-kurangnya didatangkan dengan sistem hiburan atau informasi di papan meternya yang membolehkan penunggang mendengar lagu, peta seperti google maps atau menjawab panggilan telefon, yang mana sistem-sistem ini telah lama diperkenalkan oleh jenama-jenama motosikal ‘adventure’ yang lain.
Sedih, tapi inilah hakikatnya hasil daripada tunggang uji yang saya dapati dengan Suzuki V-Strom 1050 ini. Jarang sekali saya dikecewakan oleh motosikal yang mempunyai pengendalian yang baik, rupa yang cantik dan kuasa enjin yang bertenaga. Paling menyedihkan, ia di’kalah’kan oleh ‘adik’nya sendiri dalam jenis model yang sama. Bagi yang ingin mengetahui harga pasaran yang diperkenalkan oleh Suzuki Malaysia, ia berharga RM81,900, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. – UTUSAN
SPESIFIKASI JENTERA
PEMBUAT SUZUKI
TAHUN PEMBUATAN 2020
KELAS “ADVENTURE” / “DUAL PURPOSE” (DWI GUNA)
ENJIN 1,037 cc Sejukan cecair, 4-lejang, 8-injap,
DOHC V-Berkembar 90°
GEREK / LEJANG 100 mm × 66 mm
NISBAH MAMPATAN 11,3:1
KUASA ENJIN 100 bhp (75 kW) pada 8,000 rpm
TORK 103 N⋅m pada 4000 rpm
TRANSMISI 6-kelajuan, “constant mesh”
JARAK RODA 1,555 mm (61.2 in)
DIMENSI PANJANG: 2,265 mm (89.2 in)
LEBAR: 940 mm (37 in)
KETINGGIAN: 1,465 mm (57.7 in)
BERAT 236 kg
KAPASITI BAHAN API 20.0 L – UTUSAN










