
PENGALAMAN bekerja di pusat servis Proton, memberi inspirasi kepada Ahmad Azrul Afandi Fadhil, 35, menceburi perniagaan pusat servis kenderaan di Kamunting, Taiping, Perak sejak 10 tahun lalu.
Pada awalnya, dengan bermodalkan RM10,000 pinjaman daripada TEKUN Nasional, Ahmad Azrul Afandi membuka perniaga pusat servis kenderaan, Dhia Service Centre menerusi syarikatnya, Fandi Motor Sport Sdn. Bhd. di sebuah kedai di bawah rumah flat di Jalan Stesen, Kamunting pada 2011.
Isterinya, Salmi Mohd. Rashid, 34, yang juga mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang automotif, malah mereka pernah bekerja di tempat yang sama, merupakan pendorong utama yang membantu Ahmad Azrul Afandi dalam perniagaan itu.

Kini, pasangan suami isteri itu boleh berbangga dengan perniagaan mereka yang semakin berkembang dengan menawarkan perkhidmatan servis, membaiki kenderaan, tukar tayar, bateri, membaiki suspensi dan lain-lain perkhidmatan automotif.
“Setelah sembilan tahun beroperasi di bawah rumah flat, perniagaan kami melangkah ke hadapan apabila mendapat tawaran menyewa tanah di bawah Majlis Agama Islam Perak dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
“Di tapak itu, kami bangunkan sebuah bangunan pusat servis kenderaan yang lengkap dengan berbagai fasiliti untuk keselesaan pelanggan.
“Isteri saya mengurus hal ehwal pentadbiran dan pemasaran syarikat manakala saya di bahagian pengurusan teknikal” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Ahmad Azrul Afandi yang merupakan pemilik syarikat berkata, keselesaan pelanggan menjadi keutamaan dengan menyediakan pelbagai kemudahan antaranya ruang yang luas dan berhawa dingin dilengkapi sofa, minuman dan makanan ringan serta
WiFi sementara pelanggan menantikan kenderaan mereka diservis.
“Kami juga menyediakan perkhidmatan percuma menghantar pelanggan pulang ke rumah sekiranya kenderaan mereka mengambil masa untuk diperbaiki dan menghantar kenderaan ke rumah pelanggan setelah siap diperbaiki,” katanya.

Menurutnya, bahagian pengurusan pentadbiran yang sistematik merupakan elemen penting kejayaan syarikat itu menarik pelanggan.
Katanya, segala butiran berkaitan kenderaan dan direkodkan dengan lengkap.
“Setiap kenderaan pelanggan, kami buat satu rekod khas berserta butiran yang lengkap atas apa yang dilakukan, ini bagi memudahkan pelanggan tahu apa yang telah diperbaiki, termasuk penjadualan penggantian minyak hitam.
“Rekod kenderaan ini akan menjadi rujukan kepada pelanggan pada masa akan datang dan tertera lengkap servis yang pernah dibuat termasuk harganya.
“Kami juga mewujudkan servis berjadual dan menghantar pesanan melalui sistem E-SMS secara auto kepada pelanggan, supaya mereka peka terhadap jadual membuat servis ke atas kenderaan mereka apabila tiba masanya.
“Dengan sistem ini, pelanggan amat berpuas hati dan butiran pelanggan dan kenderaan mereka merupakan kerahsiaan yang dijamin oleh syarikat,” katanya.
Sementara itu, Salmi berkata, syarikat mempromosikan perniagaan melalui media sosial seperti Facebook, Instagram, YouTube dan TikTok selain berkongsi panduan penjagaan kenderaan, maklumat terbaharu dan iklan melalui platform tersebut.
“Syarikat merancang untuk membuka sebuah lagi pusat servis kenderaan di Taiping dalam masa terdekat.
“Perancangan kami ialah untuk membuka cawangan di setiap negeri, ini secara tidak langsung akan membuka peluang pekerjaan bagi golongan muda,” katanya. – UTUSAN










