PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) telah mencatatkan jualan sebanyak RM3.0 bilion untuk tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2021 (TK2021).
Menurut Sime Darby Property, pencapaian itu telah melepasi sasaran jualan RM2.4 bilion oleh syarikat bagi TK2021, dan merupakan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 50 peratus daripada tahun sebelumnya.
Syarikat jelasnya, telah berjaya mencatatkan jumlah pelancaran baharu tertingginya dengan 3,594 unit hartanah bernilai RM3.7 bilion dalam nilai pembangunan kasar (GDV) serta purata kadar pembelian sebanyak 87 peratus untuk pelancaran baharu sepanjang TK2021.
Pencapaian jualan yang kukuh pada TK2021 juga telah meningkatkan keputusan kewangan Sime Darby Property berbanding tahun sebelumnya.
“Kumpulan telah mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 7.6 peratus kepada RM2.2 bilion, dan keuntungan sebelum cukai (PBT) yang melonjak 156.5 peratus kepada RM268.3 juta; manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat sebanyak 127.3 peratus kepada RM136.9 juta.
“Segmen pembangunan hartanah Kumpulan telah mencapai peningkatan jumlah pendapatan tahun ke tahun sebanyak 7.7 peratus kepada RM2,069.7 juta yang menyumbang 93.2 peratus daripada jumlah pendapatan syarikat.
“Segmen itu telah mencatatkan PBT sebanyak RM255.3 juta berbanding kerugian sebelum cukai (LBT) TK2020 sebanyak RM354.7 juta,” katanya dalam kenyataan.
Jelas syarikat hartanah itu, secara keseluruhannya, pencapaian baik segmen itu adalah hasil kemajuan pembinaan dan jualan pelancaran produk kediaman dan perindustrian baharu yang telah siap di seluruh perbandaran-perbandaran utama syarikat di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.
Segmen pelaburan dan pengurusan aset pula jelasnya, menyumbang pendapatan sebanyak RM94.7 juta yang merupakan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 37.2 peratus serta merekod PBT sebanyak RM27.0 juta.

Mengulas pencapaian itu, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, pencapaian jualan dan kewangan syarikat yang memberangsangkan adalah hasil daripada tumpuan terhadap pertumbuhan perniagaan dan pengurusan kos yang cekap sepanjang TK2021.
“Kami menyedari cabaran-cabaran akibat daripada Covid-19 dan telah memberikan tumpuan utama untuk mengurangkan impak terhadap perniagaan kami pada tahun lepas dengan membolehkan pelanggan kami untuk terus berhubung dengan wakil jualan dan perkhidmatan pelanggan.
“Syarikat telah menyediakan kemudahan pembelian atas talian yang lengkap untuk para pelanggan dalam usaha menyokong pelancaran strategik di semua perbandaran yang menampilkan produk-produk kediaman, gaya hidup dan perdagangan.
“Kami akan terus berusaha untuk memacu pertumbuhan perniagaan dan mencipta nilai melalui produk berkualiti kami pada TK2022 dan seterusnya,” katanya.
Ujarnya, Sime akan meneruskan momentum positif yang dihasilkan tahun lepas dengan pelancaran strategik baharu bernilai RM2.8 bilion dalam GDV yang dirancang untuk TK2022.
Pada suku pertama TK2022, Kumpulan akan melancarkan produk kediaman bertanah baharu dengan GDV bernilai RM571 juta di Bandar Elmina, Bandar Bukit Raja, Bandar Serenia, Bandar Ainsdale, Nilai Impian dan KL East; dan produk kediaman bertingkat tinggi dengan GDV bernilai RM156 juta di Putra Heights.
Jelasnya, inisiatif strategik syarikat yang telah dilaksanakan sejak tahun lepas akan memangkin pertumbuhan menjadikannya sebuah syarikat hartanah yang bersepadu.
“Melalui segmen pelaburan dan pengurusan aset syarikat, kami telah memperkenalkan dana pembangunan industri melalui usaha sama dengan LOGOS Property, yang disasarkan akan memberikan sumbangan sulung kepada pendapatan syarikat pada separuh kedua TK2022.
“Syarikat juga akan menumpukan usaha untuk mengembangkan komponen runcit dan placemaking di perbandaran utama Sime Darby Property. Kami optimis dengan peluang pertumbuhan dalam sektor ini yang akan meluaskan aliran pendapatan berulang Sime Darby untuk jangka panjang,” katanya. – UTUSAN









