Ranhill Utilities catat hasil RM421.11 juta, meningkat 21.9 peratus

Ranhill Utilities catat hasil RM421.11 juta, meningkat 21.9 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasil Ranhill Utilities Berhad (Ranhill) bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 (S4 TK21) meningkat 21.9 peratus kepada RM421.11 juta berbanding RM345.42 juta dalam suku tahun yang sama tahun lalu (S4 TK20).

Peningkatan tersebut disebabkan terutamanya oleh peningkatan hasil dalam segmen Perkhidmatan yang disumbangkan oleh anak syarikat baharu yang diperoleh pada tahun dilaporkan.

Syarikat mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBTZ) sebanyak RM17.96 juta berbanding kerugian sebelum cukai dan zakat sebanyak RM9.85 juta pada S4 TK20.

“Keuntungan selepas cukai (PAT) adalah sebanyak RM22 juta berbanding kerugian selepas cukai sebanyak RM7.69 juta (tempoh sama tahun sebelumnya),” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ranhill, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK21), hasil Syarikat naik sebanyak 4.3 peratus kepada RM1.53 bilion berbanding RM1.47 bilion dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala PBTZ dan PAT masing-masing sebanyak RM93.70 juta dan RM66.09 juta.

Jelasnya, segmen perniagaan alam sekitar mencatatkan hasil sebanyak RM1.16 bilion pada TK21; perniagaan perkhidmatan menyumbang RM151.80 juta berbanding dengan RM55.81 juta, peningkatan disebabkan sumbangan daripada anak syarikat baharu dan perniagaan tenaga yang menjana pendapatan sebanyak RM220.71 juta berbanding RM233.4 juta sebelumnya.

“Ranhill akan terus meneroka peluang dalam mengembangkan operasi bekalan air kepada bahagian Malaysia yang lain, sambil menyasarkan untuk menukar kontrak operasi dan penyelenggaraan sedia ada kepada
konsesi ROT jangka panjang.

“Ia selaras dengan strategi pengembangan jangka panjang perniagaan aset terkawal di Thailand, di mana Syarikat memiliki dan mengendalikan 10 loji rawatan sisa air dan penambakan dengan pemaju taman perindustrian dan lain-lain syarikat swasta,” katanya.

Tambah Ranhill, Syarikat akan terus mencari peluang dalam sektor alam sekitar, di mana Syarikat bersama-sama rakan kongsi konsortium telah membida untuk pembangunan projek di Indonesia dengan menyasarkan untuk mengekstrak 10,000 liter sesaat air terawat dari empangan dan bekalan Jatiluhur ke Jakarta, Kota Bekasi, Kabupaten Bekasi, Kabupaten Karawang dan Bogor.

“Kajian telah dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Awam Indonesia (PUPR) dan konsortium sedang menunggu penerimaan laporan tersebut dan penganugerahan “Status Pemula” sebelum PUPR meminta pelaksanaan tender,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN