Produktiviti buruh meningkat 1.7 peratus pada suku keempat (ST4) 2021.

Produktiviti buruh ST4 2021 meningkat 1.7 peratus

PENGGUNAAN aplikasi BIM di negara ini masih disasarkan secara meluas bukan sahaja di fasa perancangan dan reka bentuk, tetapi juga dalam fasa pelaksanaan, fasa yang mana pembinaan sedang berjalan, fasa pengurusan kontrak dan juga fasa penyelengaraan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Produktiviti buruh meningkat 1.7 peratus pada suku keempat (ST4) 2021 daripada -5.6 peratus suku sebelumnya, merekodkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM24,006, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, peningkatan itu disebabkan oleh pengeluaran barangan dan perkhidmatan meningkat lebih laju berbanding kadar pertumbuhan pekerja.

Kata beliau, pada suku dilaporkan, ekonomi Malaysia melonjak 3.6 peratus (ST3 2021: -4.5 peratus) manakala pekerja meningkat 1.8 peratus (ST3 2021: 1.2 peratus) berikutan pengoperasian semula lebih banyak sektor ekonomi selaras dengan peralihan kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara pada tempoh berkenaan.

“Nilai ditambah per pekerja pada suku ini adalah sebanyak RM24,006 per pekerja (ST4 2020: RM23,603 per pekerja; ST3 2021: RM21,983 per pekerja),” katanya dalam kenyataan.

Mengulas prestasi produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja, beliau berkata, waktu operasi perniagaan adalah lebih panjang pada suku dilaporkan, sekali gus ditunjukkan melalui peningkatan jumlah jam bekerja kepada 2.3 peratus (ST3 2021: -3.9 peratus) bagi merekodkan 8.8 bilion jam.

Tambahnya, produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja turut mencatatkan peningkatan dengan pertumbuhan 1.3 peratus selepas merekodkan penurunan marginal 0.6 peratus pada suku tahun sebelumnya.

“Nilai ditambah per jam bekerja pada suku ini berjumlah RM42.2 per jam (ST4 2020: RM41.7 per jam; ST3 2021: RM40.9 per jam),” tambah beliau.

Dalam pada itu, tiga sektor ekonomi merekodkan pertumbuhan positif nilai ditambah per pekerja iaitu pembuatan, pertanian dan perkhidmatan sementara perlombongan & pengkuarian dan pembinaan kekal merosot.

Pertumbuhan tertinggi produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja direkodkan oleh sektor pembuatan pada 4.6 peratus disokong oleh pertumbuhan kukuh subsektor produk elektrik, elektronik & optikal (9.8 peratus) dan minuman & produk tembakau (8.6 peratus).

Mohd. Uzir berkata, prestasi keseluruhan produktiviti buruh pada 2021 naik 1.8 peratus (2020: -5.5 peratus) dengan merekodkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM90,647 per pekerja (2020: RM89,022 per pekerja).

Sementara itu, nilai ditambah per jam bekerja jatuh 2.6 peratus (2020: 3.4 peratus) dengan nilai RM41.0 per jam (2020: RM42.0 per jam).

“Berbanding dengan tempoh sebelum pandemik, nilai produktiviti buruh per jam bekerja telah melebihi 2019 (RM40.7 per jam) manakala produktiviti buruh per pekerja kekal rendah (2019: RM94,162 per pekerja). Sektor pembuatan merupakan satu-satunya yang telah melepasi nilai sebelum pandemik manakala lain-lain sektor masih rendah,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN