PETALING JAYA: Prestasi sektor perkhidmatan pada suku keempat 2021 merekodkan RM460 bilion dengan pertumbuhan positif 5.3 peratus tahun ke tahun, menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.
Mohd. Uzir berkata, peningkatan dalam sektor perkhidmatan itu dipacu oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan yang naik 5.1 peratus kepada RM370.1 bilion.
Ujarnya, ia diikuti segmen pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi meningkat 8.2 peratus kepada RM67 bilion manakala segmen kesihatan swasta, pendidikan swasta dan kesenian, hiburan dan rekreasi meningkat 6.5 peratus kepada RM14.3 bilion.
“Perbandingan prestasi mengikut subsektor menunjukkan subsektor Perdagangan Borong & Runcit mencatatkan peningkatan tertinggi RM17.1 bilion atau 5.1 peratus tahun ke tahun.
“Ini diikuti oleh subsektor pengangkutan dan penyimpanan dserta maklumat dan komunikasi, masing-masing meningkat 16.3 peratus dan 3.4 peratus kepada RM26.9 bilion dan RM40.1 bilion pada suku keempat 2021,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Sementara itu, Mohd. Uzir memaklumkan, bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, jumlah hasil pada suku keempat 2021 meningkat 17.7 peratus atau RM69 bilion.
Jelasnya, peningkatan ini turut didorong oleh subsektor Perdagangan Borong & Runcit dan Pengangkutan & Penyimpanan, masing-masing meningkat 17.8 peratus dan 26.3 peratus.
“Pada tahun lalu, hasil meningkat 2.8 peratus kepada RM1.7 trilion berbanding RM1.6 trilion pada tahun sebelumnya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, jumlah pekerja dalam sektor perkhidmatan ialah 3.7 juta orang, naik sebanyak 52,077 orang atau 1.4 peratus tahun ke tahun.
“Kenaikan ini disumbangkan oleh subsektor Perdagangan Borong & Runcit dengan peningkatan sebanyak 50,575 orang atau 2.7 peratus, diikuti subsektor Pengangkutan & Penyimpanan, meningkat sebanyak 13,507 orang atau 4.2 peratus.
“Gaji dan upah yang dibayar juga mencatatkan peningkatan sebanyak RM303.7 juta atau 1.2 peratus tahun ke tahun,” jelasnya. – UTUSAN










