PETALING JAYA: Pinjaman isi rumah di negara ini meningkat kepada 4.3 peratus pada Disember lalu berbanding 4.1 peratus bulan sebelumnya.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), peningkatan itu berikutan pengeluaran pinjaman yang lebih tinggi merentas kebanyakan tujuan pinjaman.
“Bagi sektor perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul Disember mencatat 5.0 peratus berbanding November (4.8 peratus) yang terus disokong oleh pertumbuhan pinjaman modal kerja yang tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Bank Pusat itu memberitahu, pertumbuhan pembiayaan bersih meningkat kepada 4.8 peratus berbanding 4.5 peratus pada November. Ia mencerminkan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman terkumpul iaitu 4.5 peratus dan 4.3 peratus (November), serta bon korporat terkumpul di tahap 5.5 peratus berbanding 4.9 peratus (November).
Selain itu, kata BNM, kedudukan pendanaan dan mudah tunai sistem perbankan tempatan terus menyokong aktiviti pengantaraan dalam keadaan pertumbuhan deposit yang stabil.
Katanya, kualiti aset sistem perbankan kekal mantap dan terus bertambah baik berikutan langkah-langkah bantuan bayaran balik yang dilanjutkan telah memberikan bantuan sementara yang sangat diperlukan kepada peminjam yang terjejas.
Jelas BNM, nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih secara keseluruhan masing-masing lebih rendah pada 1.4 peratus dan 0.9 peratus, didorong oleh penyambungan semula bayaran balik pinjaman berikutan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur.
“Bank terus menyediakan penampan peruntukan dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.9 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan,” katanya.
Dalam perkembagan lain, bank pusat itu memberitahu, purata inflasi keseluruhan bagi 2021 ialah 2.5 peratus, turun 1.2 peratus berbanding 2020, manakala purata inflasi teras adalah pada 0.7 peratus berbanding 1.1 peratus tahun sebelumnya.
Jelasnya, kadar inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 3.2 peratus pada Disember berbanding 3.3 peratus bulan sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh inflasi pengangkutan yang lebih rendah, dengan sebahagiannya diimbangi oleh inflasi segmen makanan dan minuman bukan alkohol yang lebih tinggi.
“Inflasi pengangkutan lebih rendah pada Disember iaitu 9.5 peratus berbanding 12.7 peratus pada bulan sebelumnya manakala inflasi segmen makanan dan minuman lebih tinggi di paras 3.2 peratus pada Disember berbanding 2.7 peratus sebelumnya.
“Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras pula meningkat kepada 1.1 peratus berbanding 0.9 peratus pada November, didorong terutamanya oleh beberapa barangan dan perkhidmatan makanan di luar rumah serta produk bakeri dan penyelenggaraan,” katanya.
Selain itu, BNM memaklumkan, pertumbuhan eksport meningkat sebanyak 29.2 peratus pada Disember, sekali gus mencerminkan produk eksport Malaysia yang terus kukuh.
“Pada masa hadapan, prestasi eksport Malaysia akan terus mendapat manfaat daripada permintaan luaran dan peningkatan kitaran teknologi global. Selain itu, harga komoditi yang tinggi akan memberikan dorongan selanjutnya kepada pertumbuhan eksport.
“Walau bagaimanapun, prospek perdagangan masih bergantung pada perkembangan pandemik dan gangguan rantaian bekalan global,” jelasnya. – UTUSAN










