Pinjaman isi rumah mampu pacu pertumbuhan ekonomi? - Utusan Malaysia

Pinjaman isi rumah mampu pacu pertumbuhan ekonomi?

UTUSAN Malaysia 1 Februari 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan pinjaman isi rumah mampu memacu ke arah pertumbuhan ekonomi negara sekiranya disalurkan kepada tujuan yang menjana ekonomi termasuk pinjaman persendirian dan modal perniagaan.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, ia merupakan petanda ekonomi negara sedang bertumbuh selepas penularan wabak Covid-19 merencatkan ekonomi sejak dua tahun lalu.

“Peningkatan di dalam pinjaman dan pembiayaan adalah dijangkakan, apatah lagi ketika ekonomi mula kembali rancak dan lebih banyak sektor ekonomi dibuka.

“Apabila orang ramai terus memohon pinjaman, ini bermakna mereka yakin mampu melakukan sesuatu bagi menjana ekonomi isi rumah, seterusnya membayar pinjaman tersebut kepada pihak bank,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Walau bagaimanapun, Baharom menegaskan, sekiranya pinjaman tersebut digunakan lebih kepada penggunaan peribadi atau barangan mewah yang bukan keperluan, ia boleh membawa kepada kesan negatif.

“Jika tiada usaha untuk menjana kewangan daripada pinjaman tersebut, ia boleh menjadi masalah bebanan hutang yang bakal menjerat diri sendiri dan juga memberi kesan buruk kepada ekonomi negara yang dalam usaha pemulihan ini,” ujarnya.

Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini menyatakan, pinjaman isi rumah di negara ini meningkat kepada 4.3 peratus pada Disember lalu berbanding 4.1 peratus bulan sebelumnya.

Peningkatan itu berikutan pengeluaran pinjaman yang lebih tinggi merentas kebanyakan tujuan pinjaman.

Bagi sektor perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul Disember mencatat 5.0 peratus berbanding November (4.8 peratus) yang terus disokong oleh pertumbuhan pinjaman modal kerja yang tinggi.

Sementara itu, pertumbuhan pembiayaan bersih meningkat kepada 4.8 peratus berbanding 4.5 peratus pada November. Ia mencerminkan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman terkumpul iaitu 4.5 peratus dan 4.3 peratus (November), serta bon korporat terkumpul di tahap 5.5 peratus berbanding 4.9 peratus (November). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN