PETALING JAYA: Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd. (Petron) merekodkan keuntungan bersih RM61 juta pada suku keempat 2021 (S4 2021), 44 peratus lebih tinggi daripada RM42 juta suku yang sama 2020.
Menurut Petron, peningkatan ketara itu didorong oleh jualan domestik yang lebih tinggi dan kecekapan yang dipertingkatkan.
Katanya, dirangsang oleh Pelan Pemulihan Nasional Malaysia, suku keempat menyaksikan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi, bertepatan dengan musim cuti.
“Permintaan keseluruhan meningkat dan volum jualan syarikat mencapai 7.2 juta tong dalam tempoh tersebut, 7 peratus lebih tinggi berbanding dengan suku yang sama tahun sebelumnya. Dengan peningkatan harga minyak, pendapatan meningkat kepada RM3 bilion pada S4 2021 daripada jumlah tahun lepas, RM1.5 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Petron, tahun lalu, syarikat menjana keuntungan bersih RM238 juta, iaitu pembalikan penuh daripada kerugian bersih RM13 juta yang ditanggung pada 2020, didorong oleh aliran meningkat harga minyak global, kecekapan yang dipertingkatkan dan pemulihan dalam permintaan domestik pada S4 2021.
Jelasnya, walaupun permintaan domestik meningkat pada akhir tahun, jumlah volum jualan Syarikat sebanyak 26.4 juta tong pada 2021 sedikit rendah berbanding 2020, disederhanakan oleh kesan pandemik dalam setahun.
“Memandangkan ekonomi global beransur-ansur dibuka semula, purata harga minyak mentah Brent pada 2021 meningkat dengan ketara kepada AS$71 (RM298.13) setong daripada AS$42 (RM176.36) setong pada 2020.
“Petron menambah pendapatannya untuk tahun itu sebanyak 42 peratus kepada RM9.2 bilion berbanding RM6.5 bilion pada 2020 manakala keuntungan kasar meningkat tiga kali ganda kepada RM538 juta daripada RM167 juta pada
2020,” jelas syarikat itu.
Pengerusi Petron, Ramon S. Ang berkata, pemulihan ekonomi di Malaysia adalah daripada kejayaan Pelan Pemulihan Nasional dan Program Imunisasi Kebangsaan.
“Prestasi kami, bukan sahaja disumbang oleh perkembangan ini, juga merupakan bukti ketahanan kewangan dan ketabahan kami sebagai sebuah organisasi.
“Bagi kami, Petron akan terus memastikan bekalan produk yang bertaraf dunia, mencukupi dan boleh dipercayai sambil mencipta lebih banyak nilai untuk pelanggan, pemegang saham serta komuniti di samping menantikan masa yang lebih baik kehadapan,” katanya. – UTUSAN









