PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat sebanyak 36.7 peratus kepada 41,690 tan metrik pada Disember lalu daripada 30,493 tan metrik bulan sebelumnya, menurut laporan Jabatan Perangkaan, semalam.
Bagaimanapun, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran komoditi itu turun 16.3 peratus daripada 49,825 tan metrik tempoh sama Disember 2020.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, pengeluaran getah asli pada tempoh dilaporkan disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil sebanyak 91 peratus, sementara estet hanya sembilan peratus
Beliau berkata, jumlah stok getah asli meningkat 5.9 peratus pada Disember kepada 285,208 tan metrik berbanding 269,421 tan metrik pada November 2021 dengan kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 91.8 peratus diikuti kilang pengguna getah (8.1 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).
Katanya, eksport getah asli Malaysia pada Disember berjumlah 45,982 tan metrik, turun 24.5 peratus berbanding November sebanyak 60,942 tan metrik.
“China terus mendominasi sebagai pengimport tertinggi getah asli iaitu 41.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Disember 2021, diikuti Finland (10.7 peratus), Pakistan (4.2 peratus), Turki (3.2 peratu) dan Jerman (2.5 peratus).
“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.
“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM2.3 billion pada Disember 2021, menurun 6.5 peratus berbanding November sebanyak RM2.5 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Dari segi harga, lateks pekat merekodkan penurunan sebanyak 2.6 peratus daripada 553.64 sen sekilogram kepada 539.45 sekilogram, sementara sekerap susut 0.3 peratus daripada 586.10 sen kepada 548.07 sen sekilogram.
Penurunan turut berlaku kepada semua jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) yang turun antara 1.2 hingga 2.5 peratus.
“Berdasarkan laporan Malaysian Rubber Board Digest keluaran Disember, berlaku penurunan dalam pasaran pada bulan Disember disebabkan oleh kerugian dalam pasaran niaga hadapan getah serantau daripada kebimbangan yang semakin meningkat mengenai penyebaran varian Omicron COVID-19, kelewatan dalam pengeluaran kereta akibat kekurangan cip dan komponen peringkat global yang akan memperlahankan permintaan untuk getah,” jelas Mohd. Uzir. – UTUSAN










