PDB merekodkan PBT sebanyak RM740.8 juta

PDB rekod hasil RM22.5 bilion 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Dagangan Berhad (PDB) merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM740.8 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, dua kali ganda lebih tinggi berbanding pencapaian tahun sebelumnya.

Hasil bagi tahun tersebut berjumlah RM22.5 bilion didorong oleh prestasi yang lebih kukuh, mewakili peningkatan 20 peratus daripada 2020.

PDB dalam kenyataan memaklumkan, prestasi kukuh itu disumbang kepada peningkatan PBT suku keempat 2021 sebanyak 73 peratus kepada RM199.8 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Ia didorong pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi di bawah Fasa Empat Pelan Pemulihan Nasional (PPN) yang memangkin permintaan untuk bahan api.

“Jumlah jualan bagi suku tersebut meningkat sebanyak 16 peratus untuk kedua-dua segmen runcit dan komersial berikutan sekatan yang lebih longgar.

“Purata harga jualan dan volum jualan yang lebih tinggi menyumbang kepada peningkatan dalam hasil PDB sebanyak 61 peratus kepada RM7.06 bilion berbanding suku sama tahun lepas,” kata kenyataan itu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, pihaknya berbesar hati melihat pertumbuhan yang sihat dalam jumlah merentasi semua segmen produk dan menutup tahun ini dengan prestasi yang kukuh walaupun menghadapi cabaran.

“Kami juga telah mula mengukuhkan strategi masa depan kami yang bertujuan memastikan PDB kekal mampan dan relevan. Ini termasuk mempelbagaikan portfolio kami selaras dengan trend masa depan  dalam menjangkakan perubahan permintaan pengguna, terutamanya dalam bidang tenaga mampan dan inovasi digital,” ujarnya.

Ujar Azrul, walaupun keadaan ekonomi beransur baik, kadar pemulihan pada suku keempat sedikit terhalang oleh ancaman varian Omicron dan melihat kesannya akan berpanjangan ke tahun semasa.

“Kami tetap optimis dengan berhati-hati menjelang 2022 dan akan memanfaatkan tanda positif peningkatan perbelanjaan pengguna, pertumbuhan pasaran beransur-ansur didorong oleh belanjawan negara 2022 yang semakin berkembang.

“Selain itu, harga minyak mentah yang lebih baik dan pelonggaran sekatan menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi yang lebih kukuh,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×