PETALING JAYA: Pasaran buruh negara memperoleh semula momentum pada suku keempat 2021 apabila lebih banyak perniagaan beroperasi dengan kapasiti guna tenaga penuh dalam waktu operasi yang lebih panjang, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.
Beliau berkata, pada suku tersebut, sekolah dan institusi pendidikan dibuka dengan kemasukan pelajar secara berperingkat.
Katanya, daripada aspek sosial pula, penarikan semula larangan rentas negeri serta kebenaran untuk mengadakan majlis sosial dan rekreasi juga telah merangsang aktiviti pelancongan domestik.
“Perkembangan positif ini mendorong Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pulih 3.6 peratus selepas mengalami penguncupan pada suku sebelumnya. Justeru, guna tenaga terus meningkat pada suku ini sementara permintaan buruh melonjak naik sekali gus merekodkan kadar pengangguran paling rendah sejak pandemik melanda negara,” katanya dalam kenyataan Sorotan Pasaran Buruh Suku Keempat (ST4) 2021.
Mohd. Uzir berkata, dari segi penawaran buruh, penyertaan buruh yang lebih tinggi pada suku dilaporkan digambarkan oleh kenaikan kadar penyertaan tenaga buruh sebanyak 0.2 mata peratus tahun ke tahun kepada 68.7 peratus (ST4 2020: 68.5 peratus).
Malah katanya, bilangan tenaga buruh meningkat 1.3 peratus merekodkan 16.14 juta orang disumbangkan terutamanya oleh kenaikan 1.8 peratus penduduk bekerja yang merangkumi 15.44 juta orang (ST4 2020: 15.16 juta).
Sebaliknya, jelas beliau, bilangan penganggur berkurang sebanyak 8.7 peratus kepada 694.4 ribu orang (ST4 2020: 760,700).
“Ia juga merupakan kali pertama pengangguran turun kepada paras bawah 700,000 sejak pandemik melanda. Berdepan dengan cabaran situasi pengangguran yang berterusan, kadar pengangguran negara susut 0.5 mata peratus tahun ke tahun kepada 4.3 peratus (ST4 2020: 4.8 peratus) mencatatkan kadar terendah sejak krisis kesihatan awam,” jelas beliau.
Mengulas guna tenaga tidak penuh negara, Ketua Perangkawan berkata, kebenaran tempoh pengoperasian seperti sebelum pandemik bagi lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial mendorong kepada bilangan penduduk bekerja
kurang dari 30 jam seminggu menurun dengan ketara sebanyak 26.2 peratus tahun ke tahun, mencatatkan seramai 393,800 orang.
Berkenaan prestasi permintaan buruh, Mohd. Uzir berkata, jumlah jawatan dalam sektor ekonomi meningkat buat pertama kalinya selepas penurunan berterusan sejak enam suku tahun yang lalu, mencatatkan peningkatan 0.9 peratus tahun ke tahun kepada 8.53 juta jawatan (ST4 2020: 8.46 juta). – UTUSAN










