UAE sentiasa menjadi destinasi eksport terbesar Malaysia di Asia Barat.

MPOC tembus pasaran UAE

MAJLIS pelancaran kempen penggunaan minyak sawit Malaysia di Pasar Raya Lulu, Dubai sempena Ekspo Dubai 2020.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah melancarkan kempen pengguna Malaysian Palm Oil Full of Goodness di Pasar Raya Lulu yang terletak di Dubai Silicon Oasis dalam usaha untuk memacu pertumbuhan komoditi tersebut di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Acara itu bersempena pe­nyer­taan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam Ekspo Dubai 2020.

Ia telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Willie Anak Mongin.

Sebelum itu, satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara MPOC dan Lulu Group International (LULU) untuk mempromosi dan memasarkan produk berasaskan minyak sawit Malaysia melalui rangkaian pasar raya besar LULU di UAE.

Kerjasama itu turut merangkumi kerjasama dalam pelbagai kelebihan teknologi dan ekonomi antara kedua-dua pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Wan Aishah Wan Hamid berkata, sebagai hab utama di Asia Barat, UAE sentiasa menjadi destinasi eksport terbesar Malaysia dan sumber import kedua terbesar di rantau itu dan berfungsi sebagai pintu masuk bagi Malaysia untuk menembusi pasaran baharu di sana.

“Bagi 2021, rantau Asia Barat dan Afrika Utara mengimport 2.34 juta tan minyak sawit Malaysia, meningkat 8.2 peratus berban­ding tempoh yang sama pada 2020.

“Turki, Iran, Arab Saudi dan UAE menyumbang 84 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport minyak sawit Malaysia ke rantau Asia Barat.

“Pasaran minyak sawit UAE, yang kini pengimport minyak sawit keempat terbesar di dunia Arab, dijangka mencecah AS$467.1 juta (RM1.95 bilion) menjelang 2025, menurut laporan terbaharu oleh Grand View Research, Inc.,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, terdapat juga kebimbangan kesihatan yang semakin meningkat mengenai penggunaan lemak trans, yang telah mendorong keutamaan pengguna terhadap lemak tepu seperti minyak sawit.

Jelas Wan Aishah, peningkatan permintaan terhadap produk makanan berkualiti tinggi daripada pelancong dan juga pengguna tempatan telah mendorong permintaan.

“Oleh itu, kami berharap untuk berkongsi semua ini melalui kempen pengguna Malaysian Palm Oil Full of Goodness yang sedang berjalan selama seminggu.

“Dari segi kelestarian, Malaysia telah mengukuhkan komitmennya dengan menerima pakai program pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) di seluruh negara, yang telah diwajibkan sejak 1 Januari 2020.

“Pengenalan pensijilan MSPO telah meningkatkan dengan ketara tahap kemampanan minyak sayuran sambil melindungi ekonomi dan ekologi Malaysia sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk meme­rangi perubahan iklim,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN