PETALING JAYA: Menara TM, satu daripada mercu tanda terkemuka di Kuala Lumpur ditawarkan untuk penjualan pada harga yang tidak didedahkan.
Struktur bangunan ikonik di ibu negara dengan 55 tingkat itu sebelum ini menempatkan syarikat telekomunikasi negara, Telekom Malaysia Bhd. (TM) selepas ia siap dibina pada 2001.
Ia ditawarkan untuk jualan menerusi iklan yang disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris, semalam dan turut menyatakan tarikh tutup peringkat pertama penjualan tersebut pada 18 Mac ini.
TM dalam reaksinya bagaimanapun menjelaskan, pihaknya hanya penyewa dan bukan pemlik menara yang terletak di Jalan Pantai Baharu, dekat sini.
Menurutnya, TM tidak memiliki bangunan tersebut dan tidak terlibat sama sekali dengan penjualan bangunan berkenaan oleh pemiliknya, Menara ABS Bhd.
“Syarikat kini sedang dalam proses memindahkan sebahagian besar pejabat korporat ke premis-premis milik TM termasuk TM Annexe 1 dan TM Annexe 2 serta premis di Cyberjaya.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada program optimisasi syarikat bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan daya saing TM, serta bagi menampung keperluan bekerja secara hibrid,” menurut kenyataan itu.
Bangunan yang siap dibina oleh Telekom Research & Development Sdn. Bhd. pada 2001 dengan kos AS$160 juta (ketika itu) dan berstatus pegangan bebas ketika ini dihuni sepenuhnya. Ia dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2003.
Mengulas perkembangan tersebut, Pakar ekonomi Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, TM telah menjalankan pelan strategi bagi menilai semula aset yang dimiliki mereka sejak 2019.
“Menara TM telah menjalani proses pensekuritian apabila bangunan tersebut bersama Menara Celcom, Kompleks TM Cyberjaya, dan Wisma TM di Taman Desa telah disandarkan untuk dana pembiayaan sebanyak RM1 billion melalui Sukuk Ijarah.
“Secara teknikalnya, mereka menyewa bangunan itu. Penstrukturan semula aliran tunai amat penting untuk mereka bergerak ke hadapan dengan lebih sempurna,” ujarnya.
Semenatara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid memaklumkan, TM telah mencatatkan keuntungan yang baik walaupun berdepan pandemik Covid-19 dan ia menunjukkan spekulasi penjualan menara TM kerana kewangan mungkin tidak tepat.
“Ia mungkin disebabkan pasaran sewa pejabat segmen komersial mengalami penurunan permintaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan banyak syarikat beralih bekerja dari rumah.
“Selain itu perkembangan teknologi seperti metaverse dan rangkaian 5G di sekitar Lembah Klang turut menjadi faktor unjuran permintaan ruang pejabat dan komersial akan berkurangan,” jelasnya. – UTUSAN










