Program Sukuk Wakalah Kelestarian pertama yang diterbitkan MBSB

MBSB perkenal Sukuk Wakalah Kelestarian

NOR AZAM M. TAIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MBSB Bank Bhd. memperkenalkan Program Sukuk Wakalah Kelestarian bernilai RM5 bilion untuk membiayai tawaran pembiayaan patuh syariahnya yang ditumpukan kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus, serta projek-projek ekonomi hijau.

Program Sukuk Wakalah Kelestarian pertama yang diterbitkan oleh bank Islam itu diterbitkan dengan perjanjian bersama Maybank Investment Bank Bhd. yang bertindak sebagai penasihat utama tunggal, pengatur utama tunggal, pengurus utama tunggal dan penasihat penstrukturan kemampanan tunggal bagi sukuk tersebut.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, Program Sukuk Kelestarian itu penting dalam meletakkan MBSB Bank dalam ruang kelestarian dan selaras dengan tema industri perbankan semasa.

“Ia juga membolehkan bank untuk terus mengembangkan aset penjanaan mampan kami termasuk pemberian pinjaman dalam projek hijau, rumah mampu milik, kesihatan awam, pendidikan serta pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Sukuk ini menawarkan kepelbagaian kepada pelabur dan membolehkan bank mempunyai akses kepada kumpulan pelabur yang lebih besar termasuk mereka yang mempunyai mandat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian dengan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank, Datuk Fad’l Mohamed, di sini semalam.

Tambah Nor Azam, sukuk tersebut akan diterbitkan secara berperingkat dan peringkat pertama dijangka dilancarkan pada April tahun ini.

“Dari segi saiz, ia adalah antara RM300 juta dan RM500 juta,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN