Maybank Asset Management

Maybank Asset Management lancar penyelesaian persaraan

MAJLIS pelancaraan persaraan patuh syariah Maybank Asset Management secara maya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Maybank Asset Management Sdn. Bhd. (MAM Malaysia)  telah melancarkan Maybank Flexible Retirement Solution, penyelesaian persaraan yang bermatlamat sebagai tambahan kepada perancangan persaraan individu.

Penyelesaian itu melibatkan dua dana global baharu patuh syariah. Malah, para pelabur boleh memilih salah satu daripada dua dana aset campuran patuh syariah iaitu Dana Maybank Global Wealth Moderate-I dan Dana Maybank Global Wealth Growth-I yang disesuaikan untuk perancangan persaraan mereka.

Maybank Flexible Retirement Solution menyediakan penyelesaian persaraan fleksibel patuh Syariah yang pertama di pasaran untuk menambah dan mempelbagaikan perancangan persaraan.

Menerusi penyelesaian itu, para pelabur akan mendapat akses kepada pelbagai portfolio aset global patuh Syariah yang tiada taranya.

Matlamat dana tersebut ialah mencapai pertumbuhan modal menerusi jangka sederhana dan jangka panjang dengan sasaran pulangan sebanyak 6 hingga 8 peratus setahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAM Malaysia, Najib Nazlan berkata, kebanyakan golongan dewasa yang bekerja berpendapat perancangan persaraan bukanlah sesuatu yang difikirkan setelah berusia.

“Memandangkan berlakunya kenaikan kos sara hidup dan inflasi, kami perlu menitikberatkan kepentingan menambah akaun persaraan individu sedia ada seawal mungkin bagi memastikan jaringan keselamatan yang selesa demi masa depan mereka.

“Perancangan persaraan bermula apabila anda telah bersedia, tanpa mengira peringkat usia anda. Memandangkan kehidupan sukar dijangka, perancangan persaraan anda perlu dibuat bagi mencapai matlamat anda, namun cukup fleksibel untuk disesuaikan dengan perubahan.

“Kelebihan penyelesaian tersebut terletak pada peralihan pendekatan berasaskan usia secara tradisional kepada perancangan persaraan dan menjadi tarikan kepada segmen yang lebih luas dengan tersedianya penyelesaian yang memahami dan mensasarkan pelbagai peringkat kehidupan, tempoh masa dan matlamat kewangan mereka,” katanya dalam ucapan sempena majlis pelancaran Maybank Flexible Retirement Solution yang diadakan secara maya.

Ujarnya, pelabur daripada pelbagai segmen boleh memilih tahap risiko yang mereka inginkan, sama ada sederhana atau pertumbuhan.

Najib menjelaskan, pelabur juga diberi kefleksibelan untuk menetapkan perancangan persaraan yang memenuhi matlamat dan keperluan mereka. Kini, golongan muda bekerja sekalipun boleh melabur dalam penyelesaian yang disesuaikan dengan keperluan mereka, pada setiap peringkat kehidupan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Schroder Investment Management (Singapore) Ltd. (Schroders) Singapura, Lily Choh berkata, impak pandemik Covid-19 telah mengenengahkan pentingnya perancangan persaraan.

“Kajian Pelabur Global 2021 kami mendapati bahawa 80 peratus rakyat Malaysia yang belum bersara berhasrat menyimpan lebih lagi untuk persaraan mereka disebabkan pandemik ini, manakala separuh daripada responden tidak menukar usia jangkaan persaraan mereka.

“Kami rasa teruja dapat melancarkan satu lagi inovasi pertama di pasaran untuk para pelabur Malaysia menerusi kerjasama dengan Maybank Asset Management.

“Sebagai penyelesaian persaraan fleksibel patuh Syariah yang pertama di Malaysia, kami percaya ia menawarkan penyelesaian unik yang memenuhi keperluan para pelabur Malaysia.

“Kami di Schroders memiliki pengalaman luas menguruskan skim pencen di serata dunia dengan memanfaatkan keupayaan institusi bertaraf dunia. Kepakaran ini akan turut dinikmati oleh para pelabur Malaysia menerusi Maybank Flexible Retirement Solution, bertujuan membantu meningkatkan pulangan persaraan mereka,” katanya.

Schroders ialah penasihat pelaburan bagi penyelesaian terbabit. Kumpulan merupakan salah satu penyedia penyelesaian pesisir Syariah terbesar di Malaysia, menguruskan aset bernilai RM2.2 billion dan berpengalaman lebih 10 tahun dalam penyelesaian Syariah.

Maybank Flexible Retirement Solution itu tersedia secara eksklusif di semua cawangan Maybank seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN