PETALING JAYA: Sebagai usaha mengukuhkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), syarikat-syarikat Malaysia di EXPO Dubai 2020 telah menandatangani lima MoU bernilai jutaan dirham dengan syarikat-syarikat di UAE bagi memacu pertanian lestari antara dua negara.
Kerjasama itu yang merupakan acara kemuncak Minggu Pertanian Lestari di Pavilion Malaysia, EXPO 2020 Dubai, di mana pertukaran dokumen MOU telah diadakan di majlis perasmian hari ini.
Menurut Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), ia akan membantu Malaysia mempromosi dan mengembangkan potensinya dalam pertanian lestari dengan mewujudkan penglibatan kukuh dan perkongsian strategik dengan UAE serta pemain global yang lain.
Syarikat-syarikat Malaysia turut bertukar MoU bersama syarikat-syarikat dari Mesir, Jerman dan Maldives.
“Ia menjadikan jumlah keseluruhan MoU kepada lapan dengan jumlah keseluruhan sebanyak lebih AED173 juta (RM197 juta) dalam potensi peluang perdagangan dan perniagaan,” katanya dalam kenyataan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, MoU itu merangkumi kerjasama meluas dalam penyelidikan dan pembangunan, perdagangan dan pengedaran, akses pasaran, aktiviti komersial, pelaburan, pemindahan teknologi, serta penjualan, pemasaran produk dan perkhidmatan.
Menurut beliau, kerjasama itu akan terus meningkatkan usaha pertanian lestari kerajaan Malaysia selain dapat menangani masalah perubahan iklim.
“Malaysia berada di barisan hadapan dalam mencari penyelesaian lestari bagi menangani masalah pengeluaran makanan dan keselamatan.
“Minggu Pertanian Lestari Malaysia di EXPO 2020 Dubai adalah satu inisiatif penting yang akan memacu dan meningkatkan peluang pelaburan dan kerjasama dalam pertanian lestari dan juga menyemarakkan usaha menentang perubahan iklim.
“Kami percaya komitmen UAE terhadap pemikiran inovatif dan pembangunan lestari akan mempercepatkan hala tuju Malaysia ke arah penggunaan teknologi dan pemodenan dalam pertanian,” kata beliau dalam ucapan perasmian Minggu Pertanian Lestari tersebut.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah.
Menurut MAFI, bidang tumpuan utama yang digariskan dalam MoU termasuklah biodiversiti kepada kesejahteraan, buah-buahan tanah tropika dan hasil sampingannya, pertanian bandar pintar, penyelesaian pertanian pintar dan sisa-ke-kekayaan.
Tumpuan khas juga akan diberikan kepada kelestarian masakan, teknologi dan penyelesaian pertanian termaju, serta peluang pelaburan untuk kelestarian pertanian, jelasnya. – UTUSAN










