PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), ahli Kumpulan MMC, mencatatkan hasil sebanyak RM6.463 bilion untuk kewangan tahun berakhir 31 Disember 2021 (TK2021), peningkatan 3.0 peratus berbanding RM6.276 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (TK2020).
Ia terutamanya disebabkan oleh pembayaran tenaga lebih tinggi direkodkan daripada Tanjung Bin Power Sdn. Bhd. (TBP) berikutan harga arang batu yang lebih tinggi (ACP).
Kumpulan mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM254.5 juta untuk TK2021 berbanding RM286.6 juta pada tahun kewangan sebelumnya, penurunan sebanyak 11.2 peratus.
Penurunan disebabkan terutamanya oleh hapus kira perbelanjaan tertunda Segari Energy Ventures Sdn. Bhd. (SEV), sumbangan lebih rendah daripada Tanjung Bin Energy Sdn. Bhd. (TBE), hasil daripada bayaran kapasiti yang lebih rendah dan kemerosotan aset disebabkan gangguan loji, serta ketiadaan perjanjian penyelesaian TBE dengan Alstom Power System dan GE Power Services (Malaysia) Sdn. Bhd.
“Bagaimanapun, ini sebahagiannya disederhanakan oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada TBP, Alam Flora Sdn. Bhd. (AFSB) dan pelaburan asing Kumpulan dalam syarikat bersekutu,” kata Malakoff dalam kenyataan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, prestasi berterusan Kumpulan pada tahun kewangan yang ditinjau adalah bukti tumpuan berterusan Kumpulan untuk mengoptimumkan kecemerlangan operasi merentas aset sedia ada, sambil melaksanakan strategi pertumbuhan.
Kata beliau, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan penyelesaian alam sekitar akan menjadi pemacu pertumbuhan utama Malakoff sebagai syarikat memajukan peralihannya kepada kitaran tenaga bersih dan masa depan ekonomi.
“Kami telah berjaya mencapai operasi komersial projek Solar Atas Atap untuk POS Malaysia Berhad, DRB-HICOM Berhad dan UMW Holdings dengan jumlah kapasiti 11 MWp.
“Kumpulan meneruskan untuk mempercepatkan pengembangannya di Rooftop Solar sambil kami bekerjasama dengan pelanggan utama untuk menyokong agenda kelestarian mereka dengan memanfaatkan tenaga daripada sumber hijau.
“Dari aspek penyelesaian alam sekitar, kemudahan pembinaan & perobohan (C&D) AFSB di negeri Pahang dijangka akan siap sepenuhnya beroperasi pada akhir suku pertama (S1) 2022.
“Kemudahan 120 tan sehari adalah sebahagian daripada inisiatif Kumpulan untuk menangkap aliran hasil baharu daripada sisa lengai,” jelas beliau. – UTUSAN










