Ekonomi Malaysia secara keseluruhannya tidak akan terjejas

Konflik Ukraine, Malaysia tidak terjejas

USAHA rakyat Ukraine untuk menghalang tindakan ketenteraan Rusia sebelum ini ternyata tidak berkesan, apabila Moscow tetap mengerahkan anggota tentera ke negara mereka. – GAMBAR HIASAN/AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia secara keseluruhannya tidak akan terjejas disebabkan konflik Rusia-Ukraine yang sedang memuncak.

Sebaliknya, pakar ekonomi berpendapat, konflik itu akan memberi `pendapatan tambahan’ kepada negara disebabkan kenaikan harga komoditi seperti minyak dan gas, meskipun ia hanya bersifat jangka pendek.

Bagaimanapun kata, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, jika konflik ini berterusan, ia akan memberi impak kepada hubungan dagangan antara Malaysia dan Rusia.

“Jika konflik berterusan, kemungkinan sekatan ekonomi akan dikenakan ke atas Rusia yang turut menghalang negara lain dari berdagang dengan Russia. Ini akan menjejaskan dagangan import dan eksport antara Malaysia dan Rusia,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob pula berpendapat, beliau tidak melihat kesan konflik yang ketara terhadap Malaysia.

“Kesan kepada negara kita agak kurang memandangkan kita hanya beli dari Rusia alat ketenteraan seperti jet pejuang. Saya tidak melihat sebarang impak atau kesan dari segi perdagangan untuk negara kerana konflik tersebut tidak melibatkan negara secara langsung, jadi kita tidak perlu risau,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, peperangan yang tercetus menambahkan lagi kesengsaraan penduduk dunia setelah berlaku pandemik Covid-19.

Kata beliau, kesan kemelesetan ekonomi sangat terasa dengan kenaikan komoditi utama seperti minyak mentah yang naik dari AS$60 (RM251.91) setong sewaktu pandemik kepada lebih AS$90 (RM377.87) setong dan kini telah melepasi AS$100 (RM419.85) setong dalam tempoh hanya beberapa bulan.

“Pasti ini memberi kesan kepada rantaian nilai bekalan dan akhirnya menyebabkan kenaikan harga kepada semua barang, ini yang dipanggil inflasi. Pada Disember 2021, Kesatuan Eropah mencatatkan kadar inflasi 5 peratus, AS mencatat 7 peratus tertinggi dalam 39 tahun. Malaysia, walaupun dengan pelbagai usaha kawalan harga barang oleh kerajaan mencatatkan 3.3 peratus untuk tempoh yg sama.

“Walaupun peperangan ini baru di peringkat awal dan masih lagi boleh dihentikan, ia sudah memberi kesan langsung kepada ekonomi, iaitu kenaikan komoditi utama seperti minyak mentah, emas dan pengukuhan matawang dolar AS. Pada masa sama, pasaran saham di serata dunia termasuk Malaysia mengalami penyusutan. Pelaburan lain seperti kripto turut menurun.

“Gangguan kepada rantaian nilai barangan menyebabkan kos pengangkutan turut meningkat, dan ini memberi kesan kepada harga barangan makanan yang mendadak naik. Kita perlu tahu Rusia dan Ukraine membekalkan satu perempat daripada dagangan gandum dunia, dan satu perlima dagangan jagung.

“Peperangan ini mengganggu pelabuhan-pelabuhan negara berkenaan. Rusia juga merupakan pengeluar utama baja urea dunia, dan pastinya kekurangan bekalan baja nanti akan menyebabkan harga tanaman turut naik,” kata beliau.

Tambah beliau, eksport Malaysia ke Rusia meningkat kepada AS$1.4bilion pada Disember daripada AS$1.3bilion pada November 2021.

“Bagaimanapun peperangan ini akan menggangu kemelesetan ekonomi Kesatuan Eropah yangg merupakan rakan niaga penting kepada Malaysia. Kesimpulannya, sengketa Russia-Ukraine yang semakin memuncak mungkin mengheret pemulihan ekonomi Malaysia yang diterajui sektor eksport Malaysia ke pasaran global,” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN