LONDON: Kekayaan golongan jutawan Rusia merosot sebanyak AS$32 bilion tahun ini, dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat berikutan konflik negara mereka dengan Ukraine semakin memuncak.
Perkembangan terbaharu itu telah menjejaskan saham-saham global, namun memberi kesan positif kepada pasaran minyak mentah dengan Brent melepasi paras AS$100 (RM420) setong dan emas naik hampir dua peratus kepada hampir AS$1,950 (RM8,190) seauns.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pada Selasa mengeluarkan sekatan yang menyasarkan penjualan hutang kerajaan Rusia di luar negara dan golongan elit negara itu.
Malah beliau telah mengerah tambahan anggota tentera AS ke wilayah berkenaan dengan alasan untuk mempertahankan negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Menurut senarai 500 orang kaya dunia oleh Bloomberg, Gennady Timchenko mengetuai senarai jutawan Rusia yang menyaksikan kejatuhan kekayaan mereka, dengan hampir satu pertiga daripada kekayaannya hilang tahun ini.
Selain itu, Timchenko, 69, anak kepada pegawai tentera Soviet yang berkawan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin pada awal 1990-an, kini mempunyai kekayaan kira-kira AS$16 bilion (RM67.2 bilion), dengan sebahagian besar kekayaannya diperoleh daripada pegangan dalam syarikat gas Rusia, Novatek.
Kekayaan rakannya, Leonid Mikhelson turut merosot AS$6.2 bilion (RM26.04 bilion) tahun ini, manakala kekayaan bersih Pengerusi Lukoil, Vagit Alekperov susut kira-kira AS$3.5 bilion (RM14.7 bilion), dengan saham syarikat tenaga itu merosot hampir 17 peratus.
Indeks itu juga menunjukkan nilai kekayaan bersih 23 bilionair Rusia berjumlah $343 bilion (RM1.44 trilion) susut berbanding AS$375 bilion (RM1.58 trilion) sebelumnya. – AGENSI









