PADANG TERAP: Pelabur perintis Bandar Getah Kedah (KRC), Hong Seng Consolidated Bhd. (Hong Seng) bekerjasama dengan Mitsui & Co (Malaysia) Sdn. Bhd. membangunkan sebuah kilang getah nitril butadiena (NBL) terbesar di dunia di taman perindustrian tersebut mulai tahun ini.
Menurut Pengerusi Bukan Eksekutif Hong Seng, Datuk Muhamed Suffian Awang, pihaknya optimis pelaburan bernilai RM3 bilion itu mampu menyemarakkan pembangunan KRC yang dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.
“Ini adalah kerjasama strategik yang membawa pelaburan RM3 bilion ke KRC. Ia bukan saja memberi peluang kepada rakyat Kedah tetapi seluruh penduduk di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Projek Strategik Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Bandar Gerah Kedah (KRC) di Ladang Bukit Ketapang di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Urusan Mitsui & Co (Malaysia), Daiji Kojima dan Pengarah Eksekutif Hong Seng, Lester Chin Kent Lake.
Beliau memberitahu, pembukaan kilang tersebut juga dijangka memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat terutama dalam kalangan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).
“Pembinaan kilang ini akan beri peluang kepada industri kecil, SME dan vendor untuk turut serta bersama kita di KRC.
“Kerjasama Mitsui & Co ini juga diharapkan dapat memperhebatkan lagi KRC,” katanya.
Tambahnya, pelbagai skil pekerjaan daripada mahir sehingga ke separa mahir akan ditawarkan di kilang berkenaan kelak.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika berucap pada majlis perasmian itu berkata, trend pelaburan positif yang ditunjukkan oleh Kedah kini akan disemarakkan lagi dengan pembangunan KRC.
“Pembangunan KRC di daerah Padang Terap juga adalah bertepatan dengan identiti daerah ini yang berteraskan getah
“Saya yakin, KRC juga mampu mengikut jejak langkah Industri Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dalam menarik kemasukan pelaburan yang berkualiti yang mampu menjana limpahan manfaat kepada rakyat negeri Kedah, khususnya dari segi mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu,” katanya.
KRC merupakan sebuah taman perindustrian getah khusus mesra alam pertama di Malaysia yang dijangka mengekalkan trajektori pertumbuhan semasa negeri ini dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER). – UTUSAN










