PETALING JAYA: WZ Satu Berhad (WZ Satu) melaporkan kenaikan keuntungan bersih suku ke suku sebanyak 65.3 peratus kepada RM3.6 juta untuk suku keempat berakhir 31 Disember lalu.
Bagi tempoh tersebut, Kumpulan merekodkan perolehan sebanyak RM57 juta. Dengan pencapaian mantap itu Kumpulan kembali mencatat keuntungan bagi tahun kewangan penuh pertama kali sejak 2018.
Menurut WZ Satu, pencapaian tersebut disokong oleh sumbangan positif dari tiga segmen teras iaitu kejuruteraan awam, pembinaan, minyak dan gas serta pembuatan.
“Sebagai perbandingan, Kumpulan merekodkan keuntungan bersih RM2.2 juta dan peroleham sebanyak RM62.7 juta dalam suku ketiga 2021. Tiada sebarang maklumat perbandingan bagi tahun ke tahun sebagaimana Kumpulan pada 22 Julai 2020 telah menukar tahun kewangan berakhir ke 31 Disember dari 31 Ogos.
“Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, WZ Satu mencatatkan keuntungan bersih RM3.7 juta berbanding perolehan RM247.4 juta. Ini amat penting kerana Kumpulan berjaya merekodkan keputusan positif awal dari yang dijangkakan pada 2022,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas pencapaian tersebut, Pengerusi Eksekutif dan Presiden WZ Satu, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pencapaian kewangan terkini WZ Satu membuktikan kejayaan pelaksanaan strategi perniagaan Kumpulan.
Beliau berkata, Kumpulan memacu pertumbuhan strategi ke hadapan dan secara aktif membida beberapa tender daripada sektor awam dan swasta.
Katanya, sehingga 31 Disember lalu, buku tempahan WZ Satu merekodkan RM578 juta dan mencatatkan perolehan nyata sehingga 2023.
“Kami bekerja keras dan laju untuk meningkatkan saiz buku tempahan. Bagi tempoh beberapa tahun akan datang, salah satu pemacu utama untuk WZ Satu ialah pelaksanaan rangkaian 5G Malaysia.
“Selepas kami melengkapkan pengambilalihan ke atas Citaglobal Engineering Services Sdn. Bhd. (CESSB), Kumpulan menjangka akan mendapat faedah daripada pembinaan menara-menara telekomunikasi 5G di seluruh negara,” katanya.
Pada 17 November 2021, WZ Satu telah mencadangkan untuk mengambilalih keseluruhan kepentingan ekuiti di dalam CESSB daripada Citaglobal Sdn. Bhd. pada pertimbangan pembelian indikatif RM140 juta.
Cadangan pengambilalihan itu datang dengan aggregat jaminan keuntungan bersih RM60 juta bagi 3 tahun kewangan penuh berakhir 2022, 2023 and 2024.
CESSB ialah syarikat sendirian berhad Bumiputra dan secara prinsipalnya terlibat di dalam perkhidmatan perundingan kejuruteraan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan.
Dalam pada itu, Mohamad Norza berkata, keputusan kerajaan menggesa agar pembinaan rumah mampu milik menerusi projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) juga anjakan positif kepada Kumpulan.
Katanya, ia perlu diambil kira kerana projek kediaman PR1MA D’Marina Residency di Kuantan, memiliki nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM219 juta bagi tempoh 4 hingga 5 tahun.
“Kami masih menanti yang terbaik untuk tiba dan tahun kewangan semasa dijangka menjadi tahun yang kukuh, jika tiada sebarang kemungkinan berlaku di luar jangkaan. Saya melihat ke depan bahawa WZ Satu akan menjadi pemain serius di dalam pengurusan fasiliti, telekomunikasi, tenaga, infrastruktur dan sektor teknologi,” jelasnya.
WZ Satu telah disenaraikan pada 2 Jan 2008 dan merupakan kumpulan pelbagai perniagaan dengan pelbagai aliran perolehan.
Antara perniagaannya termasuklah kejuruteraan awam dan pembinaan, minyak & gas dan pembuatan. Unit operasi utama Kumpulan ialah WZS BinaRaya Sdn. Bhd., Sinergi Dayang Sdn. Bhd., WZS Misi Setia Sdn. Bhd., dan WZS Industries Sdn. Bhd. – UTUSAN










