Berikut kenyataan penuh Bank Negara Malaysia:
Perkara Berkaitan 1MDB
Bank Negara Malaysia (BNM) merujuk testimoni saksi dalam perbicaraan yang sedang berlangsung di New York berhubung dengan kelulusan yang diberikan oleh BNM kepada 1MDB untuk melabur di luar negara pada tahun 2009.
Kesemua pelaburan di luar negara oleh entiti pemastautin tertakluk pada syarat-syarat di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 yang telah dikuatkuasakan sebelum tahun 2013 (selepas itu diganti oleh Akta Perkhidmatan Kewangan 2013). Syarat-syarat ini dan kriteria yang mengawal pelaburan tersebut adalah telus dan diterbitkan dalam laman sesawang BNM.
Kesemua permohonan yang dihantar oleh 1MDB, termasuk permohonan yang dinyatakan di atas, adalah tertakluk pada kriteria kelulusan dan proses tadbir urus dalaman yang digunakan dalam mana-mana permohonan yang dihantar oleh entiti-entiti lain kepada BNM.
BNM juga ingin mengulas laporan terdahulu mengenai maklumat yang diterima daripada unit perisikan kewangan (financial intelligence units, FIU) asing yang berkaitan dengan akaun milik suami kepada mantan Gabenor. Dalam hal ini, BNM telah memberikan maklumat kepada agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan pada bulan April 2016 selaras dengan tanggungjawab BNM di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Bank Negara Malaysia
23 Februari 2022 – UTUSAN










