SHAH ALAM: Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) Waste Management memuktamadkan pembelian ke atas syarikat pengurusan sampah industri dan komersial, Sitamas Environmental System (Sitamas) Sdn. Bhd. bermula semalam.
Pengambilalihan tersebut melibatkan pemilikan seratus peratus pegangan KDEB Waste Management (KDEBWM) dengan nilai RM9 juta.
Pengarah Urusannya, Ramli Mohd. Tahir berkata, pemilikan terhadap Sitamas turut melibatkan pengambilalihan terhadap semua aset, kira-kira 100 kakitangan dan 1,300 klien terdiri daripada kilang, institusi dan pusat komersial yang mana 70 peratus di Selangor dan 30 peratus di Johor.
“Pengambilalihan syarikat yang beroperasi lebih 20 tahun ini akan melengkapkan kitaran pengurusan pepejal di negeri terutama sisa industri, komersial dan institusi.
“Ketika ini KDEBWM hanya menguruskan kutipan sampah domestik dan pukal di 600 kilang sekitar Kuala Langat dan Kuala Selangor dan akan mengembangkan lagi khidmat di kawasan (industri) lain,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Malah, beliau turut menyatakan hasrat pengambilalihan KDEB Waste Management yang merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor itu menggandakan keuntungan tahunan Sitamas daripada purata RM14 juta kepada RM20 juta.
Selain itu, pemilikan terhadap Sitamas turut menunjukkan perkembangan perniagaan KDEB Waste Management yang sebelum ini tertumpu kepada pengurusan sampah domestik di seluruh negeri dan kawasan industri di Kuala Langat dan Kuala Selangor.
Selepas pengambilalihan itu juga, KDEB Waste Management dijangka menguruskan sampah lebih 10 peratus kilang di seluruh Selangor.
Dalam pada itu, Ramli turut berharap penerokaan pengurusan sampah di kawasan baharu itu dapat mengurangkan masalah pelupusan sampah haram di lokasi dikenal pasti terutama kawasan perindustrian.
“Ini dilihat sebagai satu penyelesaian bagi isu pembuangan serta longgokan sampah harap di kawasan tidak sepatutnya oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menjadi satu cabaran besar untuk KDEB Waste Management dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“KDEB Waste Management yang diberikan mandat oleh kerajaan negeri akan terus meneroka peluang perniagaan berkaitan sisa pepejal termasuk pembinaan loji tenaga lestar dan kitar semula yang lebih sistematik, moden dan berimpak tinggi,” ujarnya. – UTUSAN










