PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton) menjual 4,453 kenderaan pada Januari lalu, pengurangan sebanyak 25.3 peratus daripada bulan sama 2021, dengan anggaran pegangan pasaran domestik sebanyak 11.3 peratus.
Tahun lalu syarikat pengeluar kereta nasional itu merekodkan jualan tahunan tertinggi sejak 2014.
Menurut Proton, penurunan jualan itu disebabkan kekurangan stok yang tersedia.
Jelasnya, isu bekalan komponen menjejaskan pengeluaran semua model Proton, walaupun kilang pengeluaran di Shah Alam dan Tanjung Malam tidak terjejas banjir pada Disember, namun, vendor syarikat tidak bernasib baik.
Katanya, ramai vendor yang mempunyai kemudahan pengeluaran di Shah Alam terjejas akibat bencana alam itu.
“Ia mempunyai kesan langsung ke atas jumlah pengeluaran pada Januari yang menyebabkan kekurangan unit untuk memenuhi pesanan. Tambahan pula, pegangan stok yang rendah dari bulan sebelumnya kerana syarikat tengah berusaha untuk merapatkan jurang antara bekalan dan permintaan pasaran,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, selepas menamatkan 2021 dengan kejayaan, Januari merupakan bulan yang sangat sukar bagi Proton.
Kata beliau, kekurangan bekalan menjadi lebih ketara apabila terdapat kekurangan dalam unit yang dikeluarkan, seterusnya memberi kesan yang teruk kepada pengedar.
“Kami bersyukur kerana pengeluaran untuk semua model telah berjaya disambung semula pada Januari, walaupun sesetengah model memerlukan lebih banyak masa. Kami yakin dapat mencapai sasaran 2022 berdasarkan unjuran pasaran serta rancangan jualan dan pemasaran untuk sepanjang tahun ini,” katanya.
Menurut beliau, Proton X50 dan X70 merupakan model pertama yang memulakan semula pengeluaran dan ia dapat dilihat dalam jumlah jualan pada Januari di mana sebanyak 2,601 unit X50 dan 799 unit X70 telah dijual pada bulan lepas.
Mengenai banjir, Roslan berkata, lebih 1,200 kenderaan Proton terjejas banjir telah diterima di pusat servis rasmi syarikat.
“Proton ingin mengingatkan semua pelanggan yang mempunyai kereta yang terjejas akibat banjir supaya menghantar kenderaan mereka ke rangkaian pusat perkhidmatan rasmi kami untuk menikmati manfaat seperti perkhidmatan menunda dan mencuci kereta percuma serta diskaun alat ganti dan caj buruh.
“Kami juga berterima kasih kepada kerajaan atas baucar bantuan RM1,000, yang terbukti amat bernilai untuk ramai pelanggan kami,” tambah Roslan. – UTUSAN










