PETALING JAYA: Indeks Harga Pengguna Januari 2022 meningkat 2.3 peratus kepada 124.9 daripada 122.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Kenaikan itu melepasi purata inflasi bagi tempoh 2011 hingga Januari 2022 kadar kadar 1.9 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), semalam.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidi berkata, peningkatan inflasi didorong terutamanya oleh kenaikan dalam kumpulan pengangkutan sebanyak 6 peratus, makanan & minuman bukan alkohol (3.6%); hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (3.1 peratus); restoran & hotel (2.1 peratus) dan perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (1.2%).
“Isu kenaikan harga makanan seperti sayur-sayuran, daging dan ikan yang berlarutan semenjak beberapa bulan yang lalu berikutan kesan langsung daripada kekurangan bekalan serta kenaikan harga makanan ternakan sekali lagi memberi tekanan kepada inflasi makanan.
“Kenaikan inflasi makanan yang merupakan penyumbang terbesar kepada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna, terus menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi.
“Inflasi makanan & minuman bukan alkohol meningkat 3.6 peratus pada Januari 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Makanan di rumah yang mana mengandungi bahan mentah untuk memasak di rumah meningkat 4.1 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, inflasi kumpulan pengangkutan meningkat 6.0 peratus berikutan kesan asas yang lebih rendah disebabkan oleh penetapan harga siling Petrol Tanpa Plumbum RON95 pada Mac 2021 (RM2.05) dan masih tinggi berbanding harga purata RM1.87 per liter pada Januari 2021.
Tambah beliau, inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 juga meningkat 2.5 peratus pada Januari 2022 berbanding Januari 2021.
“Langkah jangka pendek oleh kerajaan seperti pelaksanaan SHMKM untuk tempoh 4 bulan berkuat kuasa 5 Februari lalu bagi ayam dan telur, serta harga komoditi global yang lebih tinggi dijangka akan terus memberi kesan kepada inflasi Malaysia dalam beberapa bulan akan datang,” kata beliau. – UTUSAN









