Banyak industri berdepan cabaran untuk kembali pulih.

Industri sukar dapat pekerja tempatan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Banyak industri di dalam negara masih berdepan cabaran untuk kembali pulih disebabkan kekurangan tenaga kerja khususnya dalam kategori tidak mahir.

Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, pandemik Covid-19 memberi kesan besar kepada banyak industri yang masih terdedah kepada sebarang risiko.

Sehubungan itu katanya,  kemasukan pekerja asing penting bagi memastikan industri dapat terus memenuhi permintaan bekalan seterusnya tidak mengganggu rantaian bekalan global yang mungkin akan mendatangkan masalah lebih besar termasuk kenaikan harga barang.

“Malaysia merupakan hab perkilangan dan rantaian bekalan utama di rantau ini, jadi sebarang kelewatan selanjutnya dalam membawa masuk pekerja asing terutamanya bagi pekerja am yang tidak mahir boleh menjejaskan pemulihan industri kita termasuk keupayaan industri untuk memenuhi permintaan.

“Selain itu, perancangan pengembangan terutamanya oleh beberapa subsektor utama seperti elektrik dan elektronik, makanan dan minuman serta sarung tangan getah juga akan terjejas,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Januari lalu, Menteri Sumber Manusia, M. Saravanan mengumumkan pembukaan pengambilan pekerja asing dari semua sektor termasuk sektor pembuatan akan berkuat kuasa mulai 15 Februari ini.

Walau bagaimanapun, peningkatan kes Covid-19 disebabkan varian Omicron sejak kebelakangan ini dijangka bakal mempengaruhi proses kemasukan pekerja asing yang sudah lama tergendala, sekali gus menjejaskan produktiviti industri negara.

Thian Lai memaklumkan, majikan terus berdepan kesukaran mendapatkan sumber tenaga kerja dalam kalangan warga tempatan bagi mengisi kekurangan dalam kategori pekerja am tidak mahir kerana penduduk tempatan tidak berminat dengan pekerjaan dan industri tertentu terutamanya dalam sektor 3D (Bahaya, Kotor dan Susah).

“FMM juga telah tekankan sebelum ini, sektor pembuatan memerlukan tambahan kira-kira 600,000 tenaga kerja asing pada 2022 bagi memastikan hasil perniagaan mereka mencapai paras yang sama seperti sebelum pandemik.

“Langkah jangka pendek ini kritikal kepada kelangsungan hidup perniagaan dan ekonomi,” ujarnya.

Justeru, beliau menegaskan, kerajaan perlu merangka sistem yang sistematik dan berkesan untuk membawa masuk pekerja asing baharu terutamanya dengan pembaharuan Memorandum Persefahaman dengan semua negara sumber.

“Ini penting bagi membolehkan proses yang lancar, boleh dipercayai, telus dan adil yang berkesan dan cekap untuk memenuhi keperluan pekerja industri,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN