PETALING JAYA: Imbangan Akaun Semasa (CAB) Malaysia terus merekodkan lebihan sebanyak RM15.2 bilion pada akhir suku tahun 2021, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, lebihan itu didorong oleh eksport bersih barangan yang lebih tinggi dengan pertumbuhan dua angka pada harga komoditi.
Beliau berkata, akaun barangan mencatatkan eksport bersih RM51.8 bilion, tertinggi sejak suku tahun ketiga 2008 berjumlah RM50.9 bilion.
“Eksport barangan dengan sumbangan sebanyak 92.0 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia telah berkembang pada kadar yang lebih laju untuk mencatatkan RM271.3 bilion daripada RM236.6 bilion pada suku sebelumnya.
“Kenaikan sebanyak 14.7 peratus ini adalah hasil daripada eksport yang lebih tinggi bagi produk berasaskan elektrik & elektronik (E&E); minyak sawit dan bahan kimia;
terutamanya ke China, Singapura dan Amerika Syarikat.
“Pada masa yang sama, import barangan meningkat 12.3 peratus suku ke suku kepada RM219.5 bilion. Pada suku ini, barangan perantaraan, modal dan penggunaan telah diimport terutamanya dari China, Singapura dan Taiwan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, selain akaun aarangan, lebihan akaun semasa pada akhir suku tahun turut disokong oleh defisit yang lebih rendah dalam akaun pendapatan sekunder iaitu RM1.4 bilion berbanding defisit RM3.1 bilion pada suku lepas.
Katanya, terimaan juga meningkat sebanyak 47.6 peratus kepada RM6.4 bilion berbanding suku sebelumnya berikutan aliran masuk kiriman wang yang lebih tinggi oleh rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara.
Sementara itu, bayaran juga meningkat kepada RM7.8 bilion berbanding RM7.4 bilion pada suku tahun ketiga 2021.
Mengulas lanjut mengenai Statistik Imbangan Pembayaran, Mohd. Uzir menyatakan bahawa akaun Perkhidmatan merekodkan defisit yang lebih tinggi sebanyak RM15.5 bilion pada suku tahun keempat 2021 daripada defisit RM15.2 bilion pada suku sebelumnya.
“Eksport Perkhidmatan meningkat sebanyak 10.1 peratus untuk mencatatkan RM23.6 bilion, sementara import juga meningkat sebanyak 6.6 peratus kepada RM39.1 bilion.
Ini disebabkan oleh defisit yang lebih tinggi dalam Pengangkutan, Telekomunikasi, komputer dan maklumat serta defisit yang berterusan dalam Perjalanan,” katanya. – UTUSAN










