Hartanah Malaysia kekal menarik pembeli antarabangsa - Utusan Malaysia

Hartanah Malaysia kekal menarik pembeli antarabangsa

LAKARAN artis projek IBN Highlands City di Genting Highlands.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hartanah Malaysia kekal menarik kepada pembeli antarabangsa, menurut syarikat pembangunan hartanah, IBN Corp. Ltd. (IBN Corp).

Pengarah IBN Corp, Megat Khalil Izzuddin Shah berkata, Malaysia kekal sebagai salah sebuah negara paling ideal untuk bersara berikutan cuaca dan persekitaran kehidupan yang sagat baik.

Menurut beliau, minat pelabur antarabangsa terhadap hartanah di negara ini tertumpu terutamanya di pusat bandar raya Kuala Lumpur dan dalam projek berkaitan pelancongan.

Katanya, sebagai sebuah negara berbilang bahasa dan budaya, Malaysia mempunyai kelebihan yang besar dalam menyediakan persekitaran yang mudah diadunkan oleh warga asing.

“Sistem pengangkutan awam yang mudah diakses, kos perubatan yang berpatutan dan pendidikan yang murah namun cemerlang, juga merupakan prospek yang menarik.

“Di samping itu, pelabur juga menyukai pilihan pegangan bebas dan harganya untuk kualiti gaya hidup yang diterima, berbanding dengan apa yang terdapat di negara asal mereka seperti China, Hong Kong, Singapura dan Jepun.

“Hasilnya, kita telah melihat bahawa pasaran hartanah Malaysia sebenarnya kekal agak stabil sepanjang dua tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

IBN Corp yang ditubuhkan pada 2018, memberi tumpuan kepada pembangunan hartanah mewah dan mempunyai asas pelanggan yang kebanyakannya terdiri daripada pembeli luar negara.

Pembangunan utama IBN Corp termasuk IBN Bukit Bintang – pembangunan mewah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.3 bilion yang akan menjadi bangunan kediaman tertinggi di Kuala Lumpur, dan IBN Highlands City, projek pembangunan bercampur dengan GDV RM6.2 bilion terletak di Genting Highlands.

MEGAT KHALIL IZZUDDIN SHAH

Megat Khalil berkata, sebaik sahaja pelanggan dari luar negara dibenarkan melakukan perjalanan semula, syarikat percaya akan ada peluang untuk pertumbuhan selanjutnya.

“Beberapa pelanggan dari Singapura telah mula kembali ke Malaysia untuk membeli-belah hartanah, dan akhirnya pelanggan dari Asia Timur, serta Eropah dan Amerika mungkin akan kembali pada separuh kedua tahun ini,” kata beliau.

Bagi IBN Corp, beliau berkata, disebabkan sekatan perjalanan semasa, pelanggan luar negara tidak dapat mengunjungi tapak projek dan galeri jualan mereka di Malaysia.

Justeru katanya, syarikat telah menyusun strategi jualan dan pemasaran untuk memberi lebih tumpuan kepada pasaran tempatan.

“Dengan melibatkan diri dengan agensi hartanah tempatan terkemuka, IBN Corp menyasarkan untuk meningkatkan nisbah asas pelanggan tempatannya kepada 50 peratus,” katanya.

Katanya, IBN Corp menerima respons yang menggalakkan daripada pasaran untuk Blok 1 dan 2 projek IBN Highlands City di Genting Highlands. Syarikat juga sedang dalam perancangan untuk pelancaran Blok 3 dan 3A pada suku kedua 2022.

“Fasa 1 IBN Highlands City dijangka siap menjelang Disember 2023, manakala IBN Bukit Bintang dijangka siap pada suku kedua 2024. Kami juga mempunyai beberapa projek baharu menarik lain yang dirancang untuk tahun ini, termasuk taman rekreasi seluas 40 ekar berhampiran IBN Highlands City. Butiran lanjut mengenai perkara ini akan dikongsi dengan pasaran tidak lama lagi,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN