PETALING JAYA: Niaga hadapan minyak sawit Malaysia mencecah rekod tertinggi baharu kepada RM5,700 satu tan pada awal dagangan semalam, berikutan pengurangan bekalan daripada pengeluar dan pengeksport utama Indonesia.
Bagaimanapun, kontrak penanda aras minyak sawit bagi penghantaran April di Bursa Malaysia turun 0.73 peratus kepada RM5,587 setan.
Pihak berkuasa Indonesia mengejutkan pasaran minyak makan global minggu lalu dengan melaksanakan peraturan baharu yang mewajibkan pengeluar minyak sawit menjual 20 peratus daripada keluaran mereka kepada pengguna domestik pada harga tetap.
Perubahan peraturan telah mengaburkan prospek bekalan minyak sawit mentah (MSM) dari Indonesia dan menjejaskan pasaran minyak makan global dengan menjadikan minyak sayuran termurah secara tradisinya paling mahal antara tiga minyak makan utama yang didagangkan di seluruh dunia.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, penggiat industri sawit terutamanya syarikat-syarikat perladangan sawit dan pekebun kecil dijangka akan terus menikmati kesan positif dari segi kestabilan pendapatan pada tahun ini.
Menurutnya, ia susulan jangkaan peningkatan pengeluaran hasil buah tandan segar (BTS) serta harga yang masih berada pada paras tinggi.
Bagaimanapun jelas beliau, harga kelapa sawit akan mengalami sedikit penurunan sehingga di bawah RM4,000 apabila pengeluaran meningkat selepas kemasukan buruh asing beberapa bulan lagi.
“Sekarang harga sawit meningkat disebabkan permintaan di musim perayaan Tahun Baharu Cina dan bakal naik lagi untuk permintaan Hari Raya Aidilfitri.
“Namun, kebiasaannya tahap pengeluaran kelapa sawit akan meningkat pada akhir suku ketiga dan awal suku keempat nanti, menyebabkan harga sedikit menurun,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Tambah Ahmad Parveez, susulan jangkaan penurunan harga, hasil pendapatan eksport minyak sawit negara bagi tahun 2022 dijangka mengalami penyusutan sebanyak 10.8 peratus berbanding 2021 kepada RM 95 bilion.
“Walau bagaimanapun, sumbangan eksport tersebut masih boleh dianggap tinggi berbanding RM73.33 bilion pada 2020.
“Industri minyak sawit dijangka akan kekal sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara serta kekal sebagai industri utama penyumbang kepada pendapatan eksport negara selepas industri pengilangan elektrik dan elektronik serta industri petroleum,” ujarnya. – UTUSAN










