PETALING JAYA: Grab Holdings Limited (Grab) telah menyelesaikan pengambilalihan pegangan mojoriti dalam Jaya Grocer Holdings Sdn. Bhd. (Jaya Grocer).
Kedua-dua syarikat itu merancang untuk bekerjasama bagi membawa kemudahan permintaan penghantaran runcit kepada lebih ramai pengguna di Malaysia.
Grab dan Jaya Grocer juga mengumumkan pelancaran GrabPay dan GrabRewards di semua kedai fizikal Jaya Grocer bagi meluaskan penggunaan dompet tanpa tunai Grab.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Grab, Anthony Tan berkata, visi kumpulan adalah untuk menjadikan barangan runcit permintaan tinggi lebih mudah diakses oleh semua orang.
“Jaya Grocer terkenal dengan pelbagai pilihan produk segar dan barangan runcit mereka yang berkualiti.
“Dengan menggabungkan keupayaan Grab dalam membuat penghantaran yang meluas, dengan kehadiran runcit dan rangkaian pembekal Jaya Grocer yang kukuh, kami boleh menghantar produk berkualiti itu ke lebih banyak rumah dengan lebih pantas.
“Kami percaya perkongsian itu akan mempercepatkan lagi pertumbuhan perniagaan penghantaran barangan runcit kami,” kata Grab dalam kenyataan.
Menurut Grab, sekatan perjalanan yang berpanjang dan kebimbangan pengguna terhadap keselamatan dan kebersihan telah membawa kepada ledakan membeli-belah runcit dalam talian.
Jelasnya, sebanyak 64 peratus daripada pengguna Internet Asia Tenggara memilih untuk membeli barangan runcit dalam talian sekurang-kurangnya sekali semasa pandemik Covid-19.
Namun, transaksi runcit dalam talian hanya menyumbang kira-kira 2.0 peratus daripada jumlah perbelanjaan runci, katanyat.
Tambahnya, pembelian barangan runcit dalam dalam talian di Asia Tenggara dianggarkan boleh meningkat kepada AS$50 bilion (RM209.15 bilion) dalam nilai barangan kasar, pada kadar penembusan 10 peratus serupa dengan pasaran maju.
Permintaan barangan runcit dalam talian kekal tinggi walaupun setelah sekatan perjalanan dimansuhkan. GrabMart telah merekodkan pertumbuhan untuk tiga suku berturut-turut dalam tiga suku pertama 2021.
Jaya Grocer turut menyaksikan pertumbuhan kukuh yang berterusan dengan pendapatannya meningkat pada kadar dua digit tahun ke tahun dari 2018 hingga 2020. – UTUSAN










