PETALING JAYA: Prestasi ekonomi Malaysia pada 2021 menunjukkan momentum pemulihan yang kukuh dengan pertumbuhan 3.1 peratus berbanding penurunan 5.6 peratus pada 2020.
Pemulihan itu hasil pertumbuhan kukuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku keempat 2021 yang tumbuh pada kadar 3.6 peratus berbanding penguncupan 4.5 peratus suku ketiga.
Pertumbuhan dipacu oleh kegiatan ekonomi yang semakin rancak susulan pelonggaran langkah-langkah pembendungan Covid-19, yang menyaksikan kadar pengangguran turun kepada 4.6 peratus.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), kegiatan ekonomi yang kembali pulih dibantu oleh pemulihan pasaran pekerja serta sokongan dasar yang berterusan.
“Permintaan luar negara yang kukuh berikutan kitaran teknologi global yang berterusan meningkatkan lagi pertumbuhan.
“Dari segi penawaran, semua sektor ekonomi mencatatkan peningkatan dalam pertumbuhan yang diterajui oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan.
“Dari segi perbelanjaan pula, pertumbuhan didorong terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah dan aktiviti perdagangan,” katanya dalam kenyataan.
BNM menjelaskan, pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan peningkatan sebanyak 6.6 peratus berbanding suku ketiga -3.6 peratus.
Menurut BNM, seperti yang dijangka, inflasi keseluruhan meningkat kepada 3.2 peratus pada suku keempat berbanding 2.2 peratus pada suku ketiga.
Ujarnya, inflasi yang lebih tinggi pada suku keempat disebabkan terutamanya oleh harga elektrik yang kembali ke paras asal, susulan tamatnya pemberian diskaun bil elektrik selama tiga bulan yang dilaksanakan pada bulan Julai 2021.
“Inflasi teras meningkat sedikit kepada 0.8 peratus pada suku keempat apabila semakin banyak sektor dan kegiatan ekonomi dibuka semula.
“Pada tahun 2021, purata inflasi keseluruhan adalah 2.5 peratus manakala inflasi teras mencatatkan purata sebanyak 0.7 peratus,” katanya.
Mengulas mengenai ringgit, BNM berkata, mata wang negara itu menambah nilai sebanyak 0.3 peratus berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku keempat 2021.
Tambahnya, penambahan nilai ini disokong oleh sentimen yang bertambah baik disebabkan oleh pelonggaran langkah-langkah sekatan berkaitan Covid-19 dan pemberian vaksin penggalak Covid-19 yang dipercepat.
Bagaimanapun, sejak 3 Januari 2022, ringgit menyusut nilai sebanyak 0.3 peratus berbanding dengan dolar AS, jelasnya.
Penyusutan nilai itu selaras dengan trend mata wang serantau lain berikutan jangkaan yang meningkat untuk keadaan mudah tunai global menjadi lebih ketat, termasuk dasar monetari yang diperketatkan pada kadar yang lebih cepat oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).
Pada masa hadapan, BNM berkata, disebabkan ketidaktentuan terhadap pelarasan mudah tunai global dan perkembangan berhubung dengan pandemik, pasaran kewangan domestik dijangka mengalami volatiliti yang berkala.
Dalam pada itu, pertumbuhan pembiayaan bersih sektor swasta meningkat kepada 4.7 peratus berbanding 3.9 peratus pada suku ketiga didorong terutamanya oleh pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi apabila kegiatan ekonomi meningkat.
Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul meningkat sebanyak 4.2 peratus dengan pertumbuhan yang lebih tinggi merentas kebanyakan tujuan pinjaman.
“Permohonan dan pengeluaran pinjaman menunjukkan peningkatan yang ketara, khususnya untuk pembelian rumah dan kereta penumpang, berikutan pelonggaran sekatan pergerakan.
“Bagi perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat kepada 4.8 peratus dan terus didorong oleh pinjaman modal kerja yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN










