PETALING JAYA: Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) mencatatkan peningkatan hasil pada suku keempat (S4) 2021 dengan peningkatan 8.5 peratus kepada RM145.44 juta, sambil menghadapi cabaran kos yang lebih tinggi.
Menurut syarikat itu, pada suku tersebut, keuntungan selepas cukai ialah RM15.72 juta, yang menghasilkan pendapatan sesaham sebanyak 1.67 sen.
Bagi tempoh setahun, keuntungan bersih meningkat 12.07 peratus kepada RM65.68 juta, manakala hasil meningkat 12.16 peratus kepada RM639.18 juta.
“Syarikat itu telah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 1.8 sen sesaham untuk tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember 2021 (2020: dividen interim kedua 6 sen sesaham) dan memutuskan bahawa Pelan Pelaburan Semula Dividen syarikat akan dimasukkan ke dalam dividen interim kedua.
“Dividen interim kedua yang lebih rendah berbanding tahun sebelumnya adalah bagi membolehkan lebih banyak tunai digunakan untuk mendanai pengembangan perniagaan sedia ada dan juga untuk tujuan modal kerja serta sebagai sebahagian daripada strategi penstrukturan semula modal syarikat,” katanya dalam kenyataan.
Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, beberapa perkembangan akan meningkatkan pendapatannya pada suku akan datang.
Ia termasuk tender sebanyak RM375 juta yang diterima daripada kerajaan untuk membekalkan Formulasi Insugen-Insulin Rekombinan Manusia di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama tiga tahun hingga Disember 2024.
Selain itu, kontrak pembekalan produk farmaseutikal dan bukan farmaseutikal kepada hospital dan klinik kerajaan telah dilanjutkan selama 12 bulan sehingga akhir 2022, katanya.
“Syarikat juga mungkin menikmati potensi penjimatan cukai lebih daripada RM10 juta selepas penyiapan beberapa aset yang layak menjelang 2024, berikutan pengumuman dalam Bajet 2022 bahawa tempoh untuk elaun pelaburan semula khas akan dilanjutkan kepada tahun taksiran 2024.
“Walaupun berdepan cabaran operasi dan kos, kami yakin dengan prospek jangka panjang syarikat kerana kami percaya permintaan terhadap produk penjagaan kesihatan dan farmaseutikal akan terus berkembang. Ini terbukti dengan peningkatan peruntukan kerajaan untuk sektor penjagaan kesihatan dalam Bajet 2022,” kata beliau. – UTUSAN










