PETALING JAYA: DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) mencatat keuntungan pra-cukai sebanyak RM153.37 juta bagi tempoh tiga bulan berakhir 31 Disember 2021 (S4 2021), meskipun jumlah perolehan menyusut lebih 15 peratus tahun ke tahun.
Berbanding dengan suku tahun yang sama untuk 2020, perolehan Kumpulan pelbagai sektor ini dicatat pada nilai RM4.12 juta berbanding RM4.85 juta S4 2020, setelah hanya dua daripada enam segmen perniagaannya merekodkan peningkatan perolehan.
Menurut DRB-HICOM, perolehan 2021 mengalami penyusutan sebanyak 5.9 peratus tahun ke tahun, kepada RM12.38 bilion berbanding 2020 sebanyak RM13.16 bilion, menjurus kepada kerugian pra-cukai sebanyak RM291.27 juta berbanding RM540.10 juta tempoh sama 2020.
“Perlu diingatkan bahawa jumlah angka 2020 termasuk hasil pelupusan hartanah yang menyaksikan DRB-HICOM meninggalkan subsektor hartanah perhotelan dan peruncitan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah DRB-HICOM, sektor automotif kekal sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan Kumpulan dengan mencatatkan pertumbuhan berjumlah RM8.19 bilion untuk Tahun Kewangan 2021 (TK2021), meningkat hampir 15 peratus dari tahun sebelumnya.
Katanya, Proton mengakhiri 2021 dengan nada yang tinggi setelah berjaya menjual 114,708 kereta, iaitu jumlah tertinggi sejak 2014.
“Walaupun berada dalam suasana perniagaan yang mencabar, pegangan pasaran Proton meningkat kepada 21.9 peratus berbanding 20.5 peratus tahun sebelumnya.
Tambahnya, pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan kerajaan untuk merangsang pasaran automotif telah membantu Proton, Mitsubishi, Isuzu dan jenama lain dibawah Kumpulan meningkatkan jualan mereka tahun lalu.
Sementara itu, perniagaan DRB-HICOM dalam segmen aeroangkasa dan pertahanan dijangka meningkatkan daya pengeluaran mereka dan pada masa yang sama, kekal fleksibel dalam memenuhi permintaan pelanggan yang sentiasa berubah.
Jelasnya, Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM) dan DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd. (DEFTECH) kedua-duanya mengalami penyusutan perolehan tahun lalu akibat pandemik yang terus menjejaskan industri penerbangan dan pertahanan secara global.
Bagi segmen pos pula, pelan pemulihan yang sedang berterusan, memberi tumpuan kepada kecekapan kos yang ketat dan strategi yang mendahulukan pelanggan dijangka dapat meningkatkan prestasi keseluruhannya.
“Perolehan Pos Malaysia Berhad menyusut 12.8 peratus kepada RM1.5 bilion tatkala segmen antarabangsa terus terkesan daripada penutupan sempadan akibat Covid-19, sementara segmen mel dan kurier kekal mencabar,” jelasnya lagi.
DRB-HICOM berkata, segmen perniagaan lain dalam perbankan, perkhidmatan dan hartanah akan terus beroperasi secara cekap dengan mengoptimumkan pengurusan kos dan meningkatkan produktiviti perniagaan.
“Bank Muamalat Malaysia Berhad mencatat keuntungan bersih tertinggi dalam sejarahnya sebanyak RM252.9 juta di sebalik penyusutan kecil dalam perolehan iaitu sebanyak 2.6 peratus kepada RM1.11 bilion.
“Sektor perkhidmatan turut mencatatkan pertumbuhan pendapatan selain sektor automotif. Perolehan untuk sektor ini meningkat 11.4 peratus kepada RM701.85 juta, didorong sumbangan dari segmen logistik automotif dan perkhidmatan pengangkutan yang semakin meningkat.
“Segmen pembangunan dan konsesi hartanah mengalami penyusutan yang paling besar, dengan perolehan merosot sebanyak 85 peratus kepada RM232.15 juta.
“DRB-HICOM telah meninggalkan perniagaan perhotelan dan peruncitan dalam 2020 untuk menumpukan fokus dan memanfaatkan kekuatannya dalam pembangunan hartanah perindustrian,” jelasnya.
Menurut DRB-HICOM, ekonomi Malaysia dijangka kekal dalam fasa pemulihan untuk 2022, sejajar dengan pengembangan yang berterusan dalam pertumbuhan global dan peningkatan perbelanjaan oleh sektor swasta. – UTUSAN









