PETALING JAYA: Kadar agihan keuntungan atau dividen Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) bagi tahun berakhir 31 Disember 2021 dijangka sekitar 5.5 peratus hingga 5.7 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.2 peratus hingga 5.4 peratus bagi Simpanan Shariah.
Pensyarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, melihat kepada prestasi pelaburan KWSP dengan penstrukturan semula pelaburan yang banyak terarah ke pelaburan di luar negara dan dengan pemulihan ekonomi, pulangan daripada pelaburan-pelaburan itu dilihat akan memberi sinar positif.
“Meskipun KWSP juga mengalami masalah penyediaan kecairan akibat terpaksa menyediakan tunai untuk tujuan pengeluaran yang tidak dirancang, namun secara keseluruhan, pulangan pelaburan nampak lebih baik berbanding 2020.
“Melihat kepada senario ini, perkongsian keuntungan itu bersama pencarum dijangka mempunyai kebarangkalian yang lebih baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
KWSP dijangka mengumumkan agihan keuntungan atau dividen 2021 minggu ini.
Pada 2020, dana persaraan itu mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.2 peratus yang membabitkan agihan sebanyak RM42.88 bilion bagi Simpanan Konvensional dan 4.9 peratus bagi Simpanan Syariah yang berjumlah RM4.76 bilion.
Baru-baru ini, beberapa ahli ekonomi lain turut menjangkakan KWSP akan mengumumkan dividen lebih menarik bagi 2021 iaitu sekitar 5.2 peratus hingga enam peratus.
Ia didorong oleh peningkatan pendapatan pelaburan kasar dana berkenaan selain prestasi pasaran modal yang positif.
Berdasarkan laporan pendapatan pelaburan kawasan KWSP untuk sembilan bulan 2021, ia meningkat sebanyak 7.7 peratus, atau RM3.42 bilion.
Menurut laporan itu, setakat September 2021, aset pelaburan KWSP adalah pada RM988.55 bilion, di mana 36 peratus telah dilaburkan ke dalam pelaburan luar negara. – UTUSAN










