PETALING JAYA: CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam menyediakan rebat faedah atau rebat keuntungan untuk menyokong pemulihan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) semasa pandemik yang berterusan.
Di bawah NCIA – Skim Usahawan CIMB (NCES), PKS yang layak akan mendapat rebat sebanyak 50 peratus daripada jumlah faedah/keuntungan untuk permohonan mereka kepada program CIMB SME Quick Biz Financing.
Inisiatif berkenaan akan menyokong sasaran NCIA untuk membantu sekurang-kurangnya 1,000 PKS dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, sejak dua tahun kebelakangan ini, wabak Covid-19 telah memberi impak yang besar ke atas komuniti tempatan dan menjejaskan kehidupan ramai.
“Sambil kita melangkah ke hadapan dan meneruskan laluan kita ke arah pemulihan, CIMB terus menyokong usaha untuk menggiatkan semula ekonomi kita.
“Kerjasama dengan NCIA ini adalah antara inisiatif yang kami sediakan untuk mempercepatkan pemulihan, pertumbuhan dan pembangunan PKS,” katanya dalam kenyataan.
Memorandum Perjanjian (MoA) itu ditandatangani oleh Abdul Rahman dan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John dengan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis yang berlangsung di Padang Terap, Kedah, kelmarin.
Sokongan CIMB untuk sektor PKS juga termasuk pementoran berterusan dan program pembuktian masa hadapan seperti CIMB MicroBizReady, yang bukan hanya melengkapkan perniagaan B40 dengan alat untuk berkembang maju dalam persekitaran semasa Covid-19, tetapi juga dalam jangka panjang.
NCIA ialah badan berkanun yang bertanggungjawab untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi NCER (Wilayah Ekonomi Koridor Utara) meliputi empat negeri utara Semenanjung Malaysia yang merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk membantu dan menghidupkan semula PKS semasa pandemik, NCIA telah melanjutkan inisiatif rebat mereka kepada institusi kewangan baharu termasuk CIMB. – UTUSAN










