PUTRAJAYA: Chartered Institute of Logistic and Transport Malaysia (CILTM) bakal menjalin kerjasama erat dalam bidang pendidikan dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd.
Ia hasil perbincangan awal susulan lawatan industri melibatkan seramai 13 ahli Majlis CILTM ke Pusat Inovasi Penyelesaian Pelanggan firma teknologi tersebut di Kuala Lumpur semalam.
Menurut Presiden CILTM, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah, peluang jaringan tersebut adalah salah satu hala tuju visi organisasi itu bekerjasama dengan sektor industri pendigitalan.
“Kami sebagai badan profesional sedia bina kerjasama dengan pemain industri berpotensi bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan CILTM kepada pelbagai pengetahuan,” katanya.
Turut serta ialah bekas Presiden CILT Antarabangsa, Datuk Dr. Abdul Radzak Abdul Malek. Institut logistik dan pengangkutan bertauliah tersebut ditubuhkan di negara ini pada 1965 lalu.
Ketika ini, CILTM disertai 2,728 ahli profesional dan Malaysia menjadi negara kedua terbesar selepas Britain, manakala di seluruh dunia pula badan tersebut dianggotai lebih 30,000 ahli.
CILTM sudah menjalin kerjasama 71 rakan pemain industri termasuk operator firma global, dan menawarkan 26 program akademik diakreditasi bersama pusat pengajian tinggi tempatan.
Mengulas lanjut, Muhammad Muhiyuddin berkata, Huawei muncul sebagai rakan baharu bagi memberi ruang dan peluang kepada pelajar institusi tempatan menguasai kemahiran terkini.
“Huawei Malaysia adalah pilihan tepat dan relevan dengan suasana era pandemik dan pasca wabak Covid-19 untuk berkongsi ilmu terutama penuntut pengajian berkaitan dengan CILTM.
“Bahkan prestasi syarikat teknologi antara termaju dunia ini membuktikan kepentingan bidang logistik, pengangkutan dan rantaian bekalan ke arah dunia pendigitalan mampan,” katanya.
Pada masa sama, ia juga bersedia menawarkan kepakarannya sebagai penilai, penasihat dan pakar rujuk dalam bidang logistik dan pengangkutan kepada kerajaan dan industri berkaitan.
Sementara itu, Ketua Perusahaan (Sektor Pengangkutan) Kumpulan Perniagaan Industri Huawei Malaysia, Raymond Anthony turut teruja dengan kerjasama pintar bersama-sama CILTM.
Ia disifatkan sebagai satu permulaan strategik industri yang baik dalam merangka pelbagai lagi usaha susulan dalam membantu organisasi berkaitan bidang logistik dan pengangkutan.
“Kami tidak sabar bekerjasama dengan CILTM bagi meningkatkan transformasi digital industri selain mengoptimumkan perkhidmatan kami agar lebih mudah, selamat dan cekap,” katanya. – UTUSAN










