ISKANDAR PUTERI: Iskandar Investment Berhad Ventures (IIBV), anak syarikat milik penuh Iskandar Investment Berhad (IIB) merasmikan pembukaan co-working space atau ruang kerja bersama yang pertama di Iskandar Puteri.
Ruang kerja bersama tersebut, Common Ground Iskandar Space (CGIS) merupakan kerjasama antara IIBV dan Common Ground Works Sdn. Bhd. (Common Ground).
Perjanjian Kolaborasi antara IIBV dan Common Ground menyaksikan Common Ground bertanggungjawab untuk membangunkan dan mengendalikan CGIS yang pertama di Iskandar Puteri.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menyambut baik pembukaan CGIS di Iskandar Puteri.
“Saya difahamkan, inisiatif terbaharu ini menandakan satu lagi peristiwa penting bagi IIB untuk membangunkan dan melaksanakan ekosistem berasaskan teknologi bagi menyokong Wawasan Johor 2030 dan aspirasi digital, serta Rangka Tindakan ‘MyDigital’ Negara.
“Kerjasama antara IIB dan Common Ground ini sememangnya signifikan kerana ia menandakan kesungguhan kedua-dua pihak dalam memajukan lagi adaptasi IR4.0 di Johor ke arah menjadikan Iskandar Puteri Hab Digital Wilayah Selatan,” katanya ketika merasmikan pembukaan CGIS itu.
CGIS menawarkan sebanyak 293 ruang kerja dengan keluasan 14,500 kaki persegi dan mengambil ruang dua tingkat di Medini 6, Iskandar Puteri.
Ahli co-working space juga boleh menggunakan pelbagai kemudahan hot desks, fixed desks dan pejabat persendirian selain bilik mesyuarat, ruang acara (event space) dan ruang rehat (lounge).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Khairil Anwar Ahmad berkata, penubuhan ruang kerja bersama itu akan membantu meningkatkan inovasi syarikat start-up dan pekerja bebas atau freelancers di rantau ini dengan menyediakan platform dan kemudahan yang tersedia lengkap untuk industri berkembang maju.
“Situasi pandemik juga telah menjadi pemangkin dalam mempercepatkan transformasi digital yang melahirkan pelbagai platform berasaskan aplikasi seterusnya menggalakkan peningkatan ekonomi gig.
“Kami di IIB berbangga kerana dapat menyediakan platform ini kepada komuniti digital Johor dan dapat membantu mempercepatkan pertumbuhan perniagaan mereka,” katanya. – UTUSAN










