PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi melihat agihan keuntungan oleh Tabung Haji (TH) sebanyak 3.10 peratus bagi 2021 sebagai kejayaan Kumpulan dalam mengurus dan mentadbir pelaburan dengan baik.
Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, dividen sebanyak itu adalah wajar memandangkan banyak perniagaan yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan pada tahun lalu.
“Walaupun keadaan ekonomi kurang memberangsangkan, TH tetap berjaya mengurus dan mentadbir pelaburan mereka dengan baik.
“Bagaimanapun, penyimpan-penyimpan dalam TH ingin melihat perubahan dari segi pengurusan dengan menambah baik organisasi serta meningkatkan pelaburan sama ada di dalam dan di luar negara.
“Selain itu, TH perlu menguruskan aset-asetnya dengan lebih efisien dan tidak melupuskan sebarang aset tanpa alasan kukuh dan merugikan TH dengan pelantikan Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan yang baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abu Sofian berharap, dividen TH pada tahun depan akan lebih tinggi seperti yang pernah diterima pada 2015 hingga 2017.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, pelbagai krisis dunia termasuk penularan Covid-19 dan konflik Ukraine-Rusia bakal mempengaruhi agihan pendapatan Tabung Haji bagi tahun ini.
“Selain itu, harga komoditi emas dan minyak serta nilai mata wang Amerika Syarikat (AS$) yang naik ketika ini pastinya mendatangkan kesan kepada aset pelaburan Tabung Haji di luar negara.
“Buat masa ini masih terlalu awal untuk mengunjurkan prestasi pendapatan TH (bagi tahun kewangan 2022). Kita lihat dahulu sebarang krisi global yang boleh berlaku. Sekiranya peperangan di antara Ukraine dan Rusia tercetus, pasti akan mengganggu ekonomi global dan pendapatan banyak syarikat termasuk TH,” ujarnya. – UTUSAN










