PETALING JAYA: Institusi kewangan telah meluluskan pinjaman sebanyak lebih RM60 bilion kepada pembeli rumah pertama pada 2021.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, lebih 60 peratus daripada kelulusan pinjaman yang diberikan itu adalah untuk hartanah bernilai RM500,000 dan ke bawah.
“Bank sentiasa menyokong usaha pemilikan rumah. Kini terdapat pelbagai skim pemilikan rumah yang disediakan terutamanya untuk membantu kumpulan yang berpendapatan rendah.
“Bagaimanapun, kami faham sejak pandemik Covid-19 melanda dunia, banyak perkara sudah berubah termasuk realiti permintaan hartanah.
“Mungkin model pembiayaan juga mungkin perlu disesuaikan. Sebagai contoh, apabila amalan kerja dari rumah sudah menjadi kebiasaan, pembeli mungkin akan lebih terbuka untuk membeli hartanah di luar pusat bandar,” katanya dalam sidang akhbar prestasi ekonomi suku keempat 2021 secara maya, semalam.
Turut hadir, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.
Ujarnya, selain itu, sekarang juga sudah ada skim pembiayaan sewa untuk memiliki dan bagi mereka yang bekerja dalam gig ekonomi yang semakin berkembang dengan sumber pendapatan yang tidak tentu, boleh meningkatkan akses kepada data alternatif seperti bil utiliti dan telefon serta pembayaran sewa yang boleh menjadi sumber penilaian kredit oleh pegawai bank.
Menurut beliau, itu juga boleh disokong oleh ekosistem yang memudahkan perkongsian data bukan sahaja di kalangan sektor swasta tetapi juga agensi kerajaan.
“Namun begitu, bank sentiasa menekankan walaupun ia penting, isu terbabit tidak boleh diselesaikan dengan kaedah pembiayaan sahaja. Tidak dinafikan kebanyakan perumahan kini adalah terlalu mahal untuk kebanyakan rakyat Malaysia.
“Kita perlu menangani masalah ini sementara kita menyediakan lebih banyak penyelesaian pembiayaan, termasuk menangani ketidakpadanan bekalan dan permintaan yang teruk dalam pasaran perumahan, meningkatkan ketelusan harga rumah dan memastikan pasaran sewa yang indah tersedia untuk mereka yang belum bersedia atau tidak mahu memiliki rumah,” katanya.
Kelmarin, BNM diminta melihat kembali model pembiayaan perumahan supaya memudahkan pemilikan perumahan bagi memastikan institusi kewangan mempermudahkan pinjaman untuk B40 dan M40 membeli rumah program perumahan rakyat (PPR) dan rumah mampu milik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, fokus diberi untuk pembelian terus dan sewa untuk milik.
Jelas Perdana Menteri, semua pihak perlu memainkan peranan supaya sasaran Satu Keluarga Satu Rumah dapat direalisasikan. – UTUSAN










