DUBAI: Bahrain memperkenalkan visa pemastautin tetap baharu untuk menarik dan mengekalkan pemastautin, pelabur asing dan individu berbakat, menurut Kementerian Dalam Negeri kelmarin.
Menurut kementerian itu, Visa Residensi Emas akan memberi hak kepada kumpulan terbabit untuk bekerja di Bahrain dan menetap bagi ahli keluarga mereka.
“(Visa) bertujuan untuk menarik pelabur, usahawan, dan individu berbakat tinggi yang boleh menyumbang kepada kejayaan berterusan Bahrain,” lapor agensi Berita Bahrain memetik sumber anggota Kabinet.
Pada Oktober, Bahrain mengumumkan pelan pertumbuhan ekonomi dan imbangan fiskal baharu, termasuk projek infrastruktur utama.
Untuk melayakkan diri mendapatkan visa berkenaan, seseorang itu mesti telah menetap di Bahrain selama sekurang-kurangnya lima tahun dan memperoleh purata gaji sekurang-kurangnya BHD2,000 (AS$5,306/RM) sebulan.
Mereka yang memiliki hartanah melebihi nilai tertentu, dan pesara serta individu “berbakat tinggi” yang memenuhi kriteria tertentu juga layak memohon visa berkenaan.
Jiran Bahrain, Emeriah Arab Bersatu (UAE) telah memperkenalkan visa jangka masa yang lebih lama dan lebih pelbagai selain peluang kewarganegaraan, dalam usaha mengekalkan golongan profesional dan keluarga mereka di negara berkenaan. – AGENSI










